FRANKFURT: Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna akan mengenakan caj antara AS$25 (RM102) dan AS$37 (RM151) bagi setiap dos vaksin Covid-19 yang dihasilkannya, bergantung kepada jumlah tempahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephen Bancel berkata, vaksin Covid-19 keluarannya mempunyai rangkaian harga yang lebih kurang sama dengan vaksin selesema yang dihasilkan sebelum ini iaitu antara AS$10 (RM41) dan AS$50 (RM205).
Pada awal minggu ini, Suruhanjaya Eropah ingin mencapai persetujuan dengan Moderna untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dengan harga bawah AS$25 bagi setiap dos.
“Sehingga kini, tiada sebarang kata putus dicapai antara Suruhanjaya Eropah dengan Moderna, namun kami komited untuk mengedarkan vaksin kami ke benua Eropah,” kata bancel kepada akhbar Jerman, WamS.
Moderna sebelum ini mengumumkan vaksin Covid-19 yang dihasilkannya mempunyai tahap keberkesanan sebanyak 94.5 peratus berdasarkan data awal yang diperoleh daripada ujian klinikal fasa akhir.
Kejayaan itu menjadikan Moderna nombor dua di belakang Pfizer dan BioNTech yang terdahulu mengumumkan vaksin Covid-19 mereka 90 peratus berkesan mencegah jangkitan wabak tersebut.
Suruhanjaya Eropah sudah mula mengadakan perbincangan dengan Moderna berhubung vaksin yang dihasilkan sejak Julai lalu. – REUTERS