WASHINGTON: Michigan dan Georgia bakal jadi penentu kemenangan Joe Biden jika beliau mencatat jumlah undian melebihi Donald Trump di kedua-dua negeri tersebut.
Jika Biden dari Parti Demokrat memenangi kedua-dua negeri yang masing-masing mempunyai 16 undi elektoral, beliau bakal bergelar Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu.
Sehingga kini, Biden memperoleh sebanyak 238 undian elektoral dan beliau hanya memerlukan 32 undian sahaja lagi untuk mencapai undian majoriti sebanyak 270.
Setakat ini, jumlah undian yang diperoleh Biden di kedua-dua negeri tersebut tidak jauh berbeza walaupun Trump mendahului kedudukan undian.
Setakat ini, Biden merekodkan 48.3 peratus undian di Georgia, manakala Trump memperoleh 50.5 peratus undi.
Di Michigan pula, Trump mendahului dengan 49.9 peratus dan Biden mencatat 48.5 peratus undian.
Namun, impian Biden untuk mengambil alih White House akan terkubur jika Trump dari Parti Republikan mengekalkan momentum di empat negeri taruhan utamanya yang iaitu Michigan, Pennsylvania, North Carolina dan Georgia yang membolehkan beliau sekali lagi bergelar Presiden AS.
Menerusi keempat-empat negeri tersebut, Trump dijangka memperoleh 280 daripada 538 undian elektoral.
Terdahulu, Trump membuat kenyataan mengejut apabila mendakwa beliau sudah pun memenangi pilihan raya presiden kali ini biarpun keputusan penuh belum diperoleh.
Beliau turut meminta Mahkamah Agung menghentikan proses pengiraan undian selepas mendakwa berlaku penipuan.
Langkah itu dilihat seolah-olah Trump cuba mempengaruhi keputusan pengundian.
“Kita sudah menang pilihan raya, namun terdapat penipuan berlaku dalam proses pengiraan undi dan sehubungan itu, saya minta Mahkamah Agung untuk hentikan proses tersebut,” katanya ketika berucap di White House.
Sementara itu, Biden memberitahu beliau yakin mampu mencapai kemenangan berdasarkan keputusan pengundian ketika ini. – AFP/AGENSI