JAKARTA: Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Nana Sudjana dan Ketua Polis Jawa Barat, Jeneral Rudy Sufahradi dilucutkan jawatan kerana gagal menguatkuasakan protokol kesihatan membendung penularan Covid-19.
Lapor The Jakarta Post, Jurucakap Ketua Polis Negara berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Jeneral Idham Azis yang tidak memperincikan kesalahan di sebalik keputusan yang dibuat itu.
Bagaimanapun, keputusan pemecatan itu dipercayai dibuat rentetan siri perhimpunan awam di kawasan bandar ibu negara itu bagi menyambut kepulangan pemimpin kontroversi Front Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab minggu lalu.
“Mereka berdua dipecat kerana tidak mematuhi arahan melaksanakan protokol kesihatan itu,” katanya.
Tempat Nana digantikan oleh Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Fadil Imran manakala, bekas pembantu logistik Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Ahmad Dofiri mengambil alih jawatan Ketua Polis Jawa Barat.
Sebelum ini, Nana pernah mengemudi Ibu Pejabat Polis Barat Nusa Tenggara dan berkhidmat di ibu negara hampir setahun selepas dilantik sebagai Ketua Polis Jakarta, Disember tahun lalu.
Sementara Rudy adalah bekas pembantu operasi Ketua Polis Negara mengangkat sumpah sebagai Ketua Polis Jawa Timur, April tahun lalu.
Rizieq kembali ke Indonesia selepas tiga tahun diisytiharkan sebagai orang buangan di Arab Saudi sehingga mencetuskan kegusaran awam apabila ribuan penyokong menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, 10 November lalu.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan kesesakan trafik dan jadual penerbangan terganggu serta majlis perkahwinan anak perempuannya di sebelah petang yang dihadiri ramai orang.
Tindakan itu menerima kecaman dan kritikan orang ramai ekoran perbuatan itu yang jelas mengabaikan penjarakan sosial.