JAKARTA: Seorang bapa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa sering mencampurkan dadah jenis syabu ke dalam bancuhan susu formula anaknya sejak kanak-kanak itu berusia dua bulan.
Hal itu menyebabkan kanak-kanak terbabit yang kini sudah berusia lapan tahun sering melakukan perkara yang tidak sepatutnya termasuk mencuri sehingga mempunyai masalah mental yang dikenali sebagai kleptomania.
Kleptomania adalah sejenis penyakit mental yang menyaksikan penghidapnya suka mencuri biarpun barangan yang dicurinya tidak mempunyai sebarang kepentingan buat si pelaku.
Lapor Tribunnews, kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai B itu sering ditahan polis kerana mencuri dan sehingga kini, dia sudah mencuri sebanyak 23 kali dan setiap kalinya pasti dapat ditahan pihak berkuasa.
Namun, disebabkan usianya yang masih muda, pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa dan menghantar kanak-kanak lelaki itu ke pusat pemulihan akhlak di Jakarta.
Selepas enam bulan berada di pusat pemulihan tersebut, kanak-kanak terbabit ‘dibebaskan’ kerana pihak pentadbiran tidak tahan dengan kenakalannya yang disifatkan luar biasa.
Berdasarkan data Pekerja Sosial, bapa kanak-kanak itu selalu mencampurkan syabu ke dalam susunya kerana tidak mahu dia sering menangis ketika masih bayi.
Keadaan itu didakwa menyebabkan sikap kanak-kanak tersebut sukar dikawal dan mempunyai masalah mental.
Ibunya bekerja sebagai buruh mengikat rumpai laut, manakala bapanya masih ditahan di penjara atas kesalahan dadah.
Sementara itu, pihak berkuasa memutuskan untuk menghantar kanak-kanak tersebut ke pusat pemulihan dadah pada awal tahun depan untuk membantunya pulih.