WASHINGTON: Hampir 100,000 mangsa penderaan seksual dalam Organisasi Pengakap Amerika Syarikat (BSA) yang pernah membuat aduan mengenai perkara tersebut tampil menuntut pampasan yang dijanjikan oleh organisasi berkenaan.
Menurut peguam, Paul Moses, sebanyak 95,000 aduan direkodkan setakat ini dan tidak mustahil jika angka itu terus bertambah.
Katanya, jumlah aduan tersebut dikira sejak beberapa dekad lalu melibatkan sejumlah ketua BSA yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap ahli organisasi itu.
“Kes yang berlaku dalam BSA merupakan skandal penderaan seks terbesar di negara ini, selain program pengakap melibatkan budak lelaki dilihat sebagai medium kepada kegiatan jenayah seksual seperti pedofilia.
“Kami amat terkejut dan kecewa melihat jumlah aduan yang direkodkan sejak beberapa dekad lalu,” kata Moses.
Selain itu, Moses turut memohon maaf kerana tidak dapat ‘mengurangkan penderitaan serta trauma’ yang dialami oleh kesemua mangsa.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa pasukan peguam akan terus berusaha menjalankan proses perbicaraan secara terbuka dan mudah diakses.
Organisasi yang dibangunkan pada 1910 itu mempunyai kira-kira 2.2 juta ahli yang berusia lima hingga 21 tahun.
BSA yang dilanda pelbagai tuduhan berhubung penderaan seksual memfailkan kebankrapan pada Februari lalu sebagai langkah mengelak membayar tuntutan mangsa dan secara tidak langsung menyebabkan tabung dana pampasan diwujudkan.
Namun, organisasi yang dianggarkan bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.1 bilion) itu tidak memaklumkan berapa jumlah pampasan yang akan dibayar menerusi dana tersebut.
Pendedahan mengenai salah laku dalam BSA mula menjadi perhatian pelbagai pihak selepas akhbar Los Angeles Times menyiarkan mengenai dokumen yang menunjukkan perbuatan tidak bermoral oleh kumpulan itu pada 2012.
Fail salah laku ditemukan
Selain itu, kira-kira 5,000 ‘fail kesalahan’ yang menunjukkan salah laku dalam kalangan ketua BSA dan pemimpin tentera ditemukan.
Kebanyakan insiden penderaan seksual itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa dan BSA mengambil pendekatan sendiri untuk ‘melenyapkan insiden yang berlaku’.
Ketika ini, proses rundingan akan dimulakan antara mangsa, BSA dan pihak insurans yang akan menentukan berapa jumlah pampasan yang bakal diterima oleh pihak terlibat.
Dalam pada itu, Moses menyatakan BSA berkemungkinan perlu menjual beberapa aset mereka, selain menyifatkan proses tersebut adalah sukar dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun atau dua tahun untuk diselesaikan.
Pada 2010, Moses berjaya memenangi kes melibatkan seorang ahli BSA yang didera oleh ketuanya dengan memperoleh pampasan bernilai AS$20 juta (RM82 juta).
Sejumlah kes yang dikaitkan dengan BSA sudah difailkan sejak 2012, terutamanya selepas beberapa negeri melanjutkan had pendakwaan berkaitan serangan seksual melibatkan golongan kanak-kanak.
Gereja Katolik turut terpalit
Dalam pada itu, barisan kepemimpinan Gereja Katolik AS turut terpalit dengan dakwaan melakukan penderaan seksual terhadap golongan kanak-kanak.
Organisasi itu dijadualkan mengadakan persidangan tahunan secara dalam talian hari ini bagi membincangkan tentang laporan yang mendakwa bekas paderi, Theodore McCarrick melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak dan dewasa.
Laporan setebal 450 muka surat itu mengandungi maklumat terperinci mengenai beberapa insiden melibatkan paderi muda yang dicabul oleh McCarrick.
Namun, siasatan mengenai kes tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum.
Ketua Paderi Los Angeles, Jose Gomez memaklumkan bahawa kes tersebut akan mengambil masa dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘kegagalan yang besar sejak beberapa tahun lalu’.
“Kami memohon maaf atas trauma dan mimpi ngeri yang berlaku disebabkan oleh salah guna kuasa,” ujarnya. – AFP