HANOI: Vietnam sememangnya terkenal dengan hidangan eksotik seperti ular dan daging anjing yang dijual secara terbuka di kebanyakan pasar.
Keunikan itu termasuklah sajian telur dadar berintikan cacing pasir atau dikenali sebagai Cha ruoi yang merupakan hidangan bermusim di kawasan ibu negara, Hanoi.
Oddity Central melaporkan, hidangan istimewa itu amat digemari penduduk tempatan, selain popular pada penghujung musim bunga dengan kebanyakan gerai makanan di tepi jalan menyediakan menu berkenaan..
Bahan-bahan yang diperlukan dalam penyediaan Cha ruoi adalah telur, kulit limau, bawang, rempah serta daun saderi sebelum cacing dimasukkan.
Sajian itu hanya menggunakan cacing pasir ‘palolo’ yang boleh dijumpai di sepanjang pantai sempadan Lautan Pasifik termasuk China, Jepun, Indonesia dan Samoa.
Makanan itu dihidangkan selama satu hingga dua bulan dalam tempoh setahun bergantung kepada tabiat mengawan haiwan laut.
Sejak berabad-abad lalu, golongan nelayan dan petani tidak mengetahui bila waktu cacing itu akan timbul di permukaan tanah.
Sehubungan itu, mereka akan masuk ke dalam air dan menangkap sebanyak mungkin cacing dengan menggunakan jaring atau tangan.