WASHINGTON: Bakal presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Joe Biden merancang untuk melantik diplomat berpengalaman, Antony Blinken sebagai Setiausaha Negara AS.
Percaturan itu sekali gus memberi isyarat bahawa AS berhasrat untuk mengembalikan pendekatan hubungan pelbagai hala, selepas Donald Trump memutuskan ‘banyak pertalian dengan rangkaian sekutu’ negara ini.
Berita mengenai rancangan pelantikan Blinken yang fasih berbahasa Perancis itu dilaporkan oleh agensi Bloomberg, The New York Times serta beberapa media lain yang yang memetik sumber terdekat Biden.
Blinken, 58, yang setia berkhidmat dengan Biden sebelum ini menggalas jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Negara AS di bawah pentadbiran Barack Obama.
Rancangan pelantikan beliau turut disokong oleh Presiden Majlis Hubungan Luar, Richard Haass yang menyifatkan Blinken adalah calon paling tepat untuk menyandang jawatan Setiausaha Negara AS.
“Selain berpengetahuan luas mengenai dasar luar, Blinken mempunyai pertalian yang sangat bagus dengan Biden, sekali gus membolehkan beliau untuk mengutarakan nasihat secara terbuka.
“Atas faktor ini, Blinken juga bakal diberikan kuasa untuk bercakap mewakili Biden tanpa sebarang keraguan,” katanya menerusi ciapan di Twitter
Selain itu, The Washington Post pula melaporkan jawatan penasihat keselamatan kebangsaan AS bakal diserahkan kepada Jake Sullivan.
Sullivan adalah antara pembantu veteran Biden yang terkenal dengan kepekaan terhadap penelitian dasar dan jarang mempunyai isu peribadi ketika menjalankan tugas.
Sementara itu, bakal Ketua Staf White House, Ron Klain memberitahu Biden bakal mengumumkan pembentukan Kabinet pentadbirannya hari ini. – AFP