ALASKA: Sebuah pesawat Boeing 737-700 melanggar seekor beruang Grizzly ketika melakukan pendaratan di sebuah lapangan terbang di sini.
Lapor Daily Mail, kejadian itu berlaku ketika pesawat dari syarikat penerbangan Alaska Airlines itu mendarat di Lapangan Terbang Yakutat di tenggara Alaska, baru-baru ini.
Insiden itu menyebabkan beruang Grizzly betina itu mati di tempat kejadian dan anaknya yang dianggarkan berusia dua tahun turut cedera.
Menurut pihak berkuasa Alaska, tiada penumpang atau anak kapal yang cedera ketika kejadian itu berlaku, namun bahagian enjin kiri pesawat tersebut mengalami sedikit kerosakan.
Jurucakap Bahagian Pengangkutan Alaska, Sam Dapcevich berkata, petugas lapangan terbang itu sudah memastikan kawasan landasan selamat 10 minit sebelum kapal terbang itu dijangka mendarat.
“Ketika kejadian, tiada pihak perasan mengenai kehadiran beruang itu di atas landasan sehingga pelanggaran berlaku,” katanya.
Sebelum ini, katanya, beberapa pesawat pernah melanggar rusa dan angsa di Alaska tetapi kejadian itu merupakan kali pertama melibatkan beruang Grizzly.
Alaska Arlines memaklumkan insiden pelanggaran itu hanya disedari selepas juruterbang ternampak beruang betina itu terbaring atas landasan.