YOGYAKARTA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kali Gendol, Cangkringan, Sleman akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian di kawasan perlombongan setiap hari tanpa gagal sejak persekolahan ditutup akibat pandemik Covid-19.
Lapor Kompas.com, kanak-kanak perempuan tersebut, Wanda Hera akan duduk di atas batuan kecil sambil ditemani ibunya, Sutarti yang bekerja di perlombongan tersebut.
Walaupun penat membanting tulang, Sutarti akan menemani anak perempuannya yang belajar menggunakan telefon pintar sehingga sesi pembelajarannya selesai.
Ketika proses pembelajaran berlangsung, Wanda akan mencatat semua nota yang diberikan oleh gurunya.
Jelas Sutarti, anak sulungnya itu sedikit pun tidak terganggu dengan bunyi bising lori pasir yang lalu-lalang di sekitar kawasan lombong berkenaan.
“Anak saya masih mampu menumpukan perhatian penuh ketika belajar biarpun suasana pembelajaran tidak sama seperti dalam kelas,” katanya.
Sementara itu, Wanda memberitahu dia tidak kisah untuk belajar di kawasan lombong asalkan dapat menemani ibunya bekerja.
Kanak-kanak itu memberitahu dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor dan merindui suasana sekolah.