LONDON: Seorang pelatih anjing, Bruno Berrick, 48, dari Rothwellm, Northamptonshire merasakan rumahnya ibarat penjara kerana mempunyai alahan terhadap elektrik.
Lapor Daily Mail bapa tiga anak itu asalnya tidak mengalami sebarang alahan sehingga dia mula berasa sakit, rasa seperti terbakar, bunyi meletup-letup di kepala dan mengalami penurunan berat badan secara mendadak sejak empat tahun lalu.
Lelaki itu berkata, dia mengambil masa selama bertahun sebelum menyedari dirinya mengalami alahan pelik yang dikenali sebagai elektrosensitiviti yang juga dikenali hipersensitiviti, elektrofobia atau Sindrom Intoleransi Medan Elektromagnetik.
Sehubungan itu, Berrick yang tinggal bersama isteri serta tiga anak perempuan mengambil langkah mengecat rumah banglo mereka dengan sejenis cat khas bagi menghalang gelombang rangkaian 5G dan radio yang boleh mencetuskan kesakitan terhadap dirinya.
Berrick sentiasa memastikan keluarganya menggunakan peralatan elektrik pada tahap minimum, menutup lampu pada waktu malam dan tidak pernah melakukan aktiviti normal setiap hari seperti menonton televisyen.