SYDNEY: Beberapa bahagian di Australia, termasuk Sydney berdepan dengan waktu malam terpanas sepanjang bulan ini dan suhu dijangka terus tinggi untuk beberapa hari akan datang.
Lapor Reuters, keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa negara ini melarang sebarang kegiatan pembakaran dilakukan.
Di Sydney, suhu panas direkodkan melepasi 40 darjah Celsius semalam, manakala suhu lebih tinggi iaitu 45 darjah Celsius dicatatkan di New South Wales, Australia Selatan dan utara Victoria.
Jabatan Biro Meteorologi Australia meramalkan suhu tinggi akan berterusan sehingga enam hari untuk beberapa bahagian di utara New South Wales dan tenggara Queensland.
Jurucakap jabatan tersebut, Andrew Watkins berkata, purata hujan yang turun sepanjang bulan ini adalah separuh daripada jumlah biasa, sekali gus menyumbang kepada peningkatan suhu yang mendadak.
Australia sebelum ini berdepan dengan musim panas yang melampau dan lebih lama sehingga mencetuskan kebakaran hutan meliputi hampir 12 juta hektar kawasan serta menyebabkan 33 orang dan satu bilion haiwan terbunuh.
Sehubungan itu, Perkhidmatan Kebakaran Luar Bandar Australia melarang sebarang aktiviti pembakaran di timur dan timur laut New South Wales kerana dikhuatiri boleh mencetuskan kebakaran hutan.