MICHIGAN : Penantian sepasang suami isteri Kateri dan Jay Schwandt selama tiga dekad untuk mendapatkan anak perempuan berakhir selepas mereka menimang cahaya mata perempuan baru-baru ini.
Memetik laporan CNN, pasangan dari Michigan ini mempunyai 14 anak lelaki iaitu Tyler, Zach, Drew, Brandon, Tommy, Vinny, Calvan, Gabe, Wesley, Charlie, Luke, Tucker, Francisco dan Finley.
Bayi perempuan yang dinamakan Maggie Jayne mempunyai berat kira-kira 3.2 kilogram kini menjadi anggota keluarga ke-17 bagi kedua-dua pasangan berkenaan.
“Kami sangat gembira dengan kelahiran Maggie Jayne dalam keluarga besar kami. Tahun ini banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan, selain perlu menempuh pelbagai perkara.
“Namun, kelahiran Maggie merupakan hadiah terbaik yang kami rasakan ketika ini,” kata Jay.
Cerita pasangan Schwandts yang kedua-duanya berusia 45 tahun sudah berkahwin pada 1993 selepas berkenalan sejak dibangku sekolah tinggi bukanlah lagi asing bagi media tempatan.
Keluarga mereka sebelum ini pernah menjadi berita utama selama bertahun-tahun setiap kali mereka menyambut bayi baharu.
Berita yang menjadi tumpuan adalah jantina bayi dan mereka sendiri mempunyai rancangan televisyen secara langsung yang dinamakan 14 Outdoorsmen.
Ketika kelahiran putera ke-14 iaitu Finley pada 2018, pasangan itu memberitahu bahawa mereka tidak pernah memilih untuk mengetahui jantina bayi mereka sebelum dilahirkan.
“Ini adalah sebahagian proses membesarkan anak-naka dan kami menikmatinya.,” ujar Jay.
Sementara itu, anak sulung pasangan tersebut, Tyler Schwandt, 28 berkata, adik-beradiknya mungkin memerlukan beberapa tahun untuk menyesuaikan diri selepas kehadiran seorang gadis di rumah itu terutamanya ketika mereka menggunakan tandas kelak.