Adilkah edaran vaksin Covid-19 di seluruh dunia? - Utusan Malaysia

Adilkah edaran vaksin Covid-19 di seluruh dunia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Ketika negara maju berlumba-lumba menempah vaksin Covid-19 bagi Program Vaksinasi 2021, negara miskin dan membangun terus ketinggalan kerana berhadapan kesukaran memilikinya akibat kekangan kewangan. 

Pengasas vaksin Pfizer dan Biontech merancang untuk melancarkan dos pertama dalam minggu ini sebaik menerima kebenaran penggunaan kecemasan daripada agensi kawalan dadah. 

Malah jangkaan sebanyak 1.3 bilion dos tersedia tahun depan. 

Keputusan Ujian Klinikal Fasa Tiga menunjukkan sebanyak 90 peratus vaksin mRNA mampu mencegah gejala Covid-19 dan tidak memberikan kesan sampingan buruk kepada ribuan sukarelawan. 

Dengan kos sebanyak 40 pound (RM194) bagi setiap rawatan yang mengandungi dua kali dos, negara-negara kaya berlumba membuat tempahan 10 juta dos.

Jadi timbul persoalan, apakah yang mampu dilakukan oleh negara-negara miskin?  

“Sekiranya kita hanya mempunyai vaksin Pfizer dan semua orang memerlukan dua dos, perkara ini sudah tentu menjadi satu dilema,” kata Pengarah Rangkaian Kesihatan Global, Universiti Oxford, Trudie Lang. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membentuk kemudahan COVAX April lalu untuk memastikan pengagihan yang adil kerana dijangkakan permintaan besar vaksin akan diluluskan. 

COVAX berjaya menyatukan kerajaan, saintis, masyarakat sivil dan sektor swasta walaupun Pfizer pada masa ini bukan sebahagian daripada kemudahan tersebut.

Jurucakap syarikat memberitahu AFP, pihaknya menyatakan minat kemungkinan membekalkan kepada COVAX.

Ahli Dasar di Pusat Pembangunan Global, Rachel Silverman berkata, sebilangan besar kumpulan vaksin pertama tidak mungkin akan digunakan di negara-negara miskin.

Berdasarkan perjanjian pembelian awal yang ditandatangani dengan Pfizer, dia menghitung sebanyak 1.1 bilion dos ditempah sepenuhnya oleh negara-negara kaya.

“Tidak banyak yang tinggal untuk orang lain,” katanya. 

Beberapa negara yang melakukan pesanan awal seperti Jepun dan Britain, adalah sebahagian daripada COVAX, bermakna beberapa dos akan sampai di negara-negara kurang membangun melalui perjanjian pembelian tersebut. 

Sebaliknya, Amerika Syarikat yang membuat tempahan sebanyak 600 juta dos walaupun bukan anggota COVAX, tetapi ia mungkin berubah di bawah pentadbiran Joe Biden.  -AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya