JAKARTA: Kira-kira 5,000 ahli Kesatuan Gabungan pekerja Indonesia (KSPI) akan mengadakan demonstrasi menolak Undang-Undang Cipta Kerja dan keputusan tidak menaikkan kadar gaji minimum esok.
Lapor Detik.com, Presiden KSPI, Said Iqbal berkata, demonstrasi besar-besaran itu dijangka diadakan di Istana Negara dan Mahkamah Perlembagaan di Jakarta Pusat.
“Kita anggarkan 5,000 hingga 10,000 pekerja akan menyertai demonstrasi tersebut di Istana Negara dan Mahkamah Perlembagaan.
“Demonstrasi kali ini bukan sahaja untuk tolak undang-undang omnibus, kita juga akan desak kerajaan tarik balik keputusan untuk tidak naikkan kadar gaji minimum 2021,” katanya.
Said juga memberitahu demonstrasi itu akan dilakukan di beberapa daerah lain dan tidak hanya tertumpu di Jakarta.
Beliau memaklumkan, beberapa lagi protes akan diadakan selepas ini termasuk 9 dan 10 November dengan jumlah penyertaan yang lebih besar.
“Kita akan lakukan tiga demonstrasi besar-besaran iaitu pada 2,9 dan 10 November ini di Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta dan 24 wilayah lain atas isu yang sama,” ujarnya.
Jelasnya, jika kerajaan enggan melayan desakan untuk batalkan keputusan tidak naikkan kadar gaji minimum, mogok besar-besaran juga dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.