BERLIN: Ketika dunia mula ‘bertenang’ susulan pengumuman kejayaan vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh beberapa syarikat antarabangsa, penularan jangkitan wabak tersebut pula dilaporkan semakin tidak terkawal dengan 60 juta kes secara global.
Hal ini secara tidak langsung menunjukkan penduduk dunia seolah-olah mula mengambil mudah peraturan yang ditetapkan kerana beranggapan vaksin boleh melindungi mereka daripada jangkitan.
Di Amerika Syarikat (AS), sebanyak 2,439 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam dan angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara Uncle Sam itu kini sebanyak 262,080 kes, selain mencatatkan hampir 200,000 kes jangkitan baharu.
Peningkatan itu berkemungkinan disumbangkan oleh ‘sikap sambil lewa’ penduduk AS yang semakin berani melanggar protokol demi menyambut Hari Kesyukuran yang merupakan cuti umum di kebanyakan negara Barat.
Beberapa gambar yang dikongsi dalam media sosial juga menunjukkan orang ramai mula memenuhi lapangan terbang untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan tersebut bersama keluarga.
Bakal presiden baharu AS, Joe Biden menerusi satu ucapan menggesa penduduk supaya ‘melupakan sementara hasrat’ untuk berkumpul sesama keluarga bagi meraikan Hari Kesyukuran, terus mematuhi protokol kesihatan dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial.
“Saya tahu kita semua boleh atasi ancaman Covid-19. Kehidupan kita akan kembali seperti biasa. Saya janji perkara itu akan berlaku dan pandemik ini tidak akan kekal buat selama-lamanya,” kata pemimpin berusia 78 tahun itu.
Jumlah kes jangkitan yang direkodkan ketika ini adalah hampir menyamai jumlah populasi di Itali, selain rekod kematian dicatatkan sebanyak 1.4 juta di seluruh dunia.
Keadaan yang semakin teruk ini menyaksikan beberapa negara mengetatkan sistem protokol kesihatan masing-masing dengan memperbaharui peraturan sedia ada, walaupun Perancis dan United Kingdom (UK) mula melonggarkan perintah sekatan sedikit demi sedikit.
Jerman juga mengambil langkah serius apabila mendesak barisan pemimpin Eropah supaya melarang percutian ski bagi mencegah kes jangkitan yang semakin membimbangkan.
Berlin dengan kerjasama beberapa negara jiran merancang untuk menutup semua resort ski sehingga 10 Januari tahun depan.
Canselor Jerman, Angela Merkel mengakui keputusan itu bukan mudah, namun perlu dilaksanakan segera agar benua Eropah bebas dari ancaman Covid-19.
Ekonomi terus merudum
Dalam pada itu, biarpun tahun 2020 semakin hampir ke penghujungnya, wabak Covid-19 terus menjejaskan ekonomi global.
Britain dijangka merekodkan kadar pertumbuhan ekonomi terendah dalam tempoh lebih tiga dekad.
Kerajaan Britain meramalkan ekonomi negara itu akan menguncup 11.3 peratus berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.
Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak mendedahkan pelan untuk memotong dana bantuan asing bagi menstabilkan ekonomi negara.
Namun, langkah tersebut mendapat bantahan meluas kerana dikhuatiri memburukkan lagi keadaan di kebanyakan negara miskin sehingga menyaksikan seorang menteri meletak jawatan.
Haiwan juga terkesan
Tidak hanya manusia, pandemik Covid-19 juga memberi kesan kepada haiwan serta industri berkaitan.
Sebagai contoh, pasukan sarkas Zavatelli memohon sumbangan orang ramai bagi membolehkan mereka menyediakan bekalan makanan untuk 50 binatang yang digunakan untuk membuat persembahan.
Masalah timbul selepas pasukan sarkas itu terkandas di Belgium selama hampir setahun susulan pandemik yang berlaku.
Sementara itu, pihak berkuasa Denmark berdepan situasi baharu apabila sejumlah besar cerpelai yang dimusnahkan sebelum ini kerana dikhuatiri menjadi ejen penyebaran Covid-19 dilaporkan mengeluarkan ‘gas yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk’. – AFP