JAKARTA: Gara-gara takut kegiatan mencuri motor terbongkar, seorang remaja sanggup memanjat tiang elektrik setinggi 60 meter selama 17 jam di daerah Mataraman, Banjar, Kalimantan Selatan.
Kompas melaporkan, usaha untuk membawa remaja itu, MS, turun bertambah sukar apabila dia bertindak meludah pihak polis dari atas dan memijak abangnya yang cuba memujuknya turun.
Ketua Polis Mataraman, Iptu Embang berkata, perbuatan nekad itu dilakukan kerana MS dipercayai berada dalam ketakutan selepas mencuri motosikal Yamaha Frego berwarna putih milik penduduk di Martapura.
Menurut beliau, pada awalnya suspek berniat hendak melarikan diri keluar dari Mataraman, bagaimanapun, motor itu kehabisan minyak di pertengahan jalan sebelum dijumpai pihak polis.
“Dia mencuri motosikal di kawasan Martapura kemudian melarikan diri sehingga Mataraman.
“Di situ dia nekad memanjat tiang elektrik tersebut kerana ketakutan,” katanya.
Remaja itu turut diberi makan dan air kelapa tetapi selepas beberapa jam, penduduk di situ melihatnya memanjat tiang tersebut selepas menyembunyikan kenderaan yang dicuri itu.