JAKARTA: Kira-kira 1,500 peserta demonstrasi mengepung kawasan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi terus mendesak Rang Undang-Undang (RUU) Cipta Kerja dibatalkan.
Lapor CNN Indonesia, peserta demonstrasi itu melibatkan golongan pekerja dan pelajar yang merupakan ahli Gerakan Buruh bersama Rakyat (Gebrak).
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Syarikat Buruh (Kasbi), Sunarno berkata, peserta demonstrasi itu kemudiannya berhimpun di bangunan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan.
“Antara pukul 10 hingga 11 pagi waktu tempatan, mereka berkumpul di DPR, dan pukul 1 tengah hari mereka bergerak pula ke bangunan kementerian tersebut,” katanya.
Menurutnya, selain mendesak pembatalan undang-undang tersebut, golongan pelajar dilaporkan menyertai demonstrasi itu bagi memperingati Hari Pelajar Antarabangsa.
Jurucakap Gebrak, Nining Elitos berkata, golongan pekerja dan pelajar itu mahu memberi peringatan kepada orang ramai tentang polemik Undang-Undang Cipta Kerja kerana mereka mengesyaki terdapat usaha yang cuba memutar belit fakta berhubung RUU tersebut secara berulang kali.
Sebanyak empat tuntutan disuarakan dalam demonstrasi tersebut iaitu memansuhkan Cipta Kerja, membatalkan ketetapan kuasa menteri berhubung kenaikan gaji minimum 2021, menghentikan penindasan serta membebaskan penunjuk perasaan yang melakukan jenayah.
Selain itu, penunjuk perasaan juga mendesak agar yuran pengajian diberikan secara percuma semasa pandemik Covid-19.