TURKI: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak membeli barangan buatan Perancis ketika kemuncak pemboikotan orang Islam terhadap negara tersebut.
Lapor Al Jazeera, amaran keras pemimpin tertinggi itu menyebabkan hubungan antara Turki dan Perancis semakin retak.
“Saya menyeru penduduk negara ini agar jangan berikan penghargaan kepada produk buatan Perancis, jangan beli barangan mereka,” kata Recep Tayyip ketika menyampaikan ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen di Ankara.
Penduduk Islam di dunia mengancam tindakan pemboikotan itu selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam ucapannya awal bulan ini, yang membuat tuduhan kononnya Islam adalah agama yang bermasalah di dunia, selain beliau menyokong tindakan guru yang dipenggal kepala menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW.
Di Perancis, ada yang mengatakan karikatur itu perlu dibenarkan sebagai subjek kebebasan bersuara, sedangkan penduduk Islam mendapati imej yang dilukis itu memberi ancaman kerana mengaitkan Islam dengan keganasan malah sebarang tindakan penggambaran imej nabi adalah dilarang dalam Islam.
Menurut Recep Tayyip, sentimen Islamofobia yang semakin meningkat di Eropah disebabkan permusuhan terhadap Islam dan penganutnya menjadi dasar di beberapa negara Eropah.
“Sekiranya terdapat penganiayaan di Perancis, mari bersama kita melindungi umat Islam. Ahli politik Eropah harus berhenti daripada menyebarkan kempen kebencian yang diketuai Macron,” katanya.
Kejatuhan antara Macron dan dunia Islam meningkat pada hari Isnin dengan tokoh dan kumpulan terkemuka di Asia dan Timur Tengah mengecam pemimpin Perancis itu.
Di kebanyakan negara majoriti Islam, mereka mengadakan demonstrasi jalanan dan menyertai kempen dalam media sosial bagi memprotes tindakan Macron dan Perancis.
Sabtu lalu, pemimpin Turki itu menyifatkan Macron mempunyai masalah dengan orang Islam dan memerlukan pemeriksaan mental.
Akibat teguran tersebut, Perancis memanggil duta besarnya pulang dari Ankara.
Hubungan tegang antara Macron dan Recep Tayyip mencetuskan beberapa masalah sejak kebelakangan ini, termasuk ketegangan di Mediterranean Timur, perang di Libya dan konflik di Nagorno-Karabakh.