Setengah juta ikan terdampar di pesisir pantai Britain - Utusan Malaysia

Setengah juta ikan terdampar di pesisir pantai Britain

HAMPIR setengah juta ikan mati terdampar di Pantai Benar di Barmouth, North Wales kerana menyelamatkan diri daripada pemangsa. - AERON GRIFFITH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Demi mahu menyelamatkan diri daripada pemangsa, hampir sejuta ikan dilaporkan terdampar dan akhirnya mati di kawasan pesisir pantai di Britain.

Lapor Daily Mail, berbeza dengan fenomena alam seperti perubahan iklim yang menyebabkan ikan mati namun cara tersebut lebih kepada mengelakkan diri daripada pemangsa termasuk anjing laut dan ikan lumba-lumba. 

Air lautan yang tenang di pantai North Wales menyaksikan kehadiran sejumlah besar haiwan pemangsa di pinggir laut sehingga menyebabkan ikan lebih kecil bertindak menyelamatkan diri.    

Menurut seorang penduduk Aeron Griffith yang berada di Pantai Benar berhampiran Barmouth, beliau melihat beribu-ribu ikan membanjiri pantai berkenaan selepas terdampar di atas pasir.

“Saya ke pantai bagi mencari umpan hidup tetapi akhirnya menemui ikan itu,” katanya.

Robert Redman dari Welsh Wild Waters berkata, air pasang membentuk lubang di pasir sehingga menyebabkan ikan tersebut terperangkap di dalamnya.

Malah beliau menganggap ia bukan perkara yang jarang berlaku.

Dalam pada itu, Jabatan Sumber Asli Wales menasihati orang ramai agar jangan bimbang dengan kejadian yang berlaku.

“Pegawai kami menerima laporan mengenai kejadian aneh sekumpulan ikan yang muncul di Pantai Benar.

“Air laut tenang pada minggu ini bermakna haiwan pemangsa yang lebih besar seperti anjing laut atau makarel sering mengejar ikan kecil sehingga ke daratan.

“Ikan dalam bentuk bebola umpan ini kemudian muncul di pantai untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Tambah jabatan itu, meskipun fenomena ini kelihatan agak membimbangkan namun ia hanya bersifat semula jadi.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya