JAKARTA: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) digesa campur tangan mengkaji rancangan kerajaan yang akan melakukan kerja-kerja pemulihan di tapak warisan dunia, Pulau Komodo di Nusa Tenggara Timur itu.
Lapor CNN Indonesia, permintaan itu disampaikan oleh sekumpulan masyarakat sivil yang mengirimkan surat kepada UNESCO pada 9 September lalu.
Koordinator Garda Pemuda Komodo, antara seorang daripada tiga individu yang menandatangani surat itu mahu kerajaan menilai kembali rancangan pemulihan di pulau itu bagi melonjakkan sektor pelancongan yang boleh membunuh khazanah warisan di kawasan tersebut.
“Kami selaku masyarakat asli di Pulau Komodo yang sekian tahun diwasiatkan oleh leluhur nenek moyang kami menjaga Komodo sebagai saudara, tetapi dicederakan oleh pembinaan bangunan dalam persekitaran komodo,” katanya.
Dalam surat itu, mereka menggesa UNESCO segera mengunjungi Taman Nasional Komodo dan Pulau Flores bagi melakukan penyiasatan berhubung situasi terkini di pulau tersebut.
Pada masa sama, lawatan itu bertujuan membuat penilaian terhadap polisi Kerajaan Indonesia di pulau itu.
Mereka juga meminta UNESCO berjumpa pemegang taruh termasuk masyarakat setempat kerana bimbang pelaburan itu boleh mengancam kelansungan ekosistem haiwan di sana.
Rancangan itu hanya menyebabkan monopoli syarikat yang bekerjasama dengan pihak kerajaan.
Tambahan pula, katanya, gelombang pelaburan menerusi projek pemulihan pelancongan itu hanya menyebabkan tanah di kawasan itu dimiliki oleh orang kaya sekali gus mengancam ekosistem komodo pada masa depan.
Kerajaan juga malah bercadang membina sebuah kompleks baharu di Pulau Rinca dan Padar yang berpotensi mengancam habitat komodo dan sejumlah spesies lain di pulau itu.