SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob mengarahkan sebuah kotak undi dari pilihan raya umum Julai lalu dibuka semula supaya satu dokumen yang ‘tanpa sengaja’ dimasukkan ke dalam kotak itu dapat diambil.
Berita Mediacorp melaporkan, dokumen tersebut adalah salinan daftar pengundi bagi kawasan undi PN23 di GRC Pasir Ris-Punggol.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan seorang pegawai pilihan raya di pusat kiraan undi di Sekolah Rendah Elias Park ‘secara tidak sengaja’ meletakkan dokumen itu ke dalam kotak yang berisi kertas undi yang sudah dikira dan dokumen lain.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, ELD menyatakan hal itu disahkan setelah diperiksa dengan petugas pilihan raya bagi daerah PN23 apabila daftar tersebut tidak dikembalikan.
Kotak-kotak undi kini ditutup rapi dan disimpan di Mahkamah Tinggi.
Dokumen yang dimaksudkan itu merupakan daftar pengundi yang layak di divisyen pilihan raya tersebut yang mengundi pada 10 Julai lalu dan diperlukan untuk menunjukkan pengundi berdaftar yang tidak mengundi pada hari itu.
Di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen, kotak undi yang ditutup rapi harus disimpan selama enam bulan selepas pilihan raya dan hanya boleh dibuka semasa tempoh itu ‘untuk tujuan memulakan atau mempertahankan pendakwaan atau permohonan membatalkan pilihan raya’.
Menurut ELD, Halimah telah mengarahkan pegawai pilihan raya mengambil salinan daftar pengundi itu pada atau selepas 10 Januari 2021.
ELD menambah, daftar itu mesti diambil sebelum kotak undi dimusnahkan.