SHANGHAI: Sebuah taman hidupan liar di sini berjanji untuk meningkatkan tahap keselamatan selepas seorang daripada pekerjanya diserang beruang sehingga mati dalam satu insiden minggu lalu.
BBC melaporkan, kejadian menyayat hati itu turut disaksikan oleh kumpulan pelancong dari dalam bas persiaran.
Dalam satu kenyataan, Taman Hidupan Shanghai kesal dengan kejadian tersebut dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Taman itu juga memaklumkan pihaknya akan menyiasat insiden terbabit secara teliti, selain bahagian haiwan liar di zoo berkenaan ditutup buat sementara waktu dan duit tiket dikembalikan kepada pengunjung.
Insiden tersebut sempat dirakam oleh kumpulan pelancong berkenaan dan dikongsikan dalam media sosial Weibo.
Video itu menunjukkan kumpulan pelancong menjerit ketakutan melihat pekerja tersebut diserang beruang sehingga mati.