JAKARTA: Sebuah pasar menjual semua barangan keperluan terutamanya sayur semurah 2,000 rupiah (RM0.60 sen) bagi membantu meringankan beban penduduk akibat pandemik Covid-19.
Kompas melaporkan, usaha murni itu dilakukan oleh penduduk di kawasan perumahan Pondok Hijau Permai, Kampung Pengasinan, Rawalumbu, Kota Bekasi.
Lebih dikenali sebagai Pasar Noceng atau pasar murah, kewujudannya disambut baik oleh semua penduduk yang terjejas sumber pendapatan susulan penularan wabak Covid-19.
Penyelaras Pasar Noceng, Teguh WS berkata, tidak semua golongan miskin menerima bantuan yang mencukupi ketika pademik melanda.
“Pasar ini merupakan tanda prihatin kepada aktiviti sosial masyarakat kerana kami menerima keluhan penduduk yang menghadapi kesusahan untuk membeli sayur dan makanan ruji lain sewaktu musim pandemik ini.
“Pasar Noceng ini dibuka pada 20 Jun lalu dan pada awalnya, penduduk di sini bekerjasama membekalkan sayur-sayuran secara percuma kepada beberapa penduduk yang terkesan akibat Covid-19,” katanya kepada Kompas.com.
Menurut Teguh, program pemberian sayur percuma itu dikenali sebagai ‘Kagama Canthelan’ hanya membekalkan sebanyak tujuh jenis sayur untuk disalurkan kepada penduduk yang memerlukan.
Namun, disebabkan sambutan yang menggalakkan, pihak pengurusan pasar bertindak menambah bekalan sayur agar semua penduduk berpeluang membeli barangan makanan pada harga murah.