PARIS: Pihak Berkuasa negara ini akan menutup Masjid Paris sebagai tindakan keras terhadap radikalisasi sehingga menyebabkan berpuluh-puluh tangkapan berikutan insiden kepala seorang guru dipenggal kerana menunjukkan kartun yang merujuk sebagai Nabi Muhammad.
Menurut sumber, masjid yang terletak di pinggiran Kota Paris itu menyiarkan sebuah video dalam Facebook beberapa hari sebelum pembunuhan mengerikan yang menentang bahan perbincangan dalam kelas guru itu, Samuel Paty mengenai kebebasan bersuara.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berjanji menggiatkan usaha perisikan untuk menghalang jaringan keganasan di negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin berkata, masjid yang terletak di Pantin yang mampu memuatkan kira-kira 1,500 jemaah itu perlu ditutup semalam selama enam bulan.
Perintah itu dikeluarkan selepas pihak polis melancarkan beberapa siri tangkapan rangkaian pengganas terutamanya di kawasan itu.
Paty, 47, diserang di kawasan barat daya 30 kilometer dari bandar ini pada pukul 5 petang waktu tempatan berhampiran sekolah tempat guru terbabit mengajar di Conflas Saint-Honorine.
Polis turut menemukan telefon bimbit pembunuh berusia 18 tahun dari Chechnya, Abdullakh Anzorov yang memuat naik gambar kepala dipenggal dalam Twitternya.
Anzorov kemudian ditembak mati oleh pihak polis.
Seorang bapa yang memuat naik video yang dikongsikan oleh masjid itu merupakan antara 15 individu ditahan selepas insiden pembunuhan itu termasuk empat ahli keluarga Anzorov.
Empat murid sekolah yang disyaki kerana menerima upah untuk membantu menunjukkan Paty kepada pembunuh turut ditahan pihak polis.
Kes itu mendapat liputan meluas sehingga menyebabkan demonstrasi besar-besaran di seluruh Perancis. – AFP