Lebih 70 juta rakyat AS keluar mengundi awal  - Utusan Malaysia

Lebih 70 juta rakyat AS keluar mengundi awal 

LEBIH 70 juta penduduk mula mengundi awal dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2020. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lebih 70 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mengundi awal bagi Pilihan Raya Presiden negara itu.

Reuters melaporkan, bilangan itu sekali gus melebihi separuh daripada jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Presiden AS 2016.   

Data Projek Pilihan Raya AS menunjukkan bilangan itu memecahkan rekod jumlah peratusan pemilih tertinggi melebihi tempoh seabad, dengan hanya berbaki seminggu lagi Hari Pengundian. 

Situasi itu menunjukkan minat rakyat AS terhadap persaingan antara Presiden Parti Republik, Donald Trump dan pencabarnya dari Parti Demokrat, Joe Biden. 

Ia juga menekankan hasrat para pengundi untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada virus Covid-19 memandangkan pandemik itu dijangka bertambah buruk pada musim sejuk.

Parti Demokrat memiliki kelebihan signifikan dalam pengundian awal disebabkan proses mengundi melalui pos.

Biasanya, sebahagian besar penyokong Republican mengundi menerusi pos namun kali ini enggan melakukan demikian selepas Trump menyelar dan menyifatkannya sistem itu mudah terdedah kepada penipuan.

 Secara keseluruhannya, Parti Demokrat memiliki kelebihan 2:1 dalam jumlah pengundian awal. 

Bagaimanapun, data menunjukkan, Parti Republikan sejak beberapa minggu ini berupaya merapatkan jurang tersebut melalui pengundian awal secara fizikal. 

Jumlah undi awal yang tinggi menyebabkan Profesor Michael McDonald dari Universiti Florida yang mengetuai Projek Pilihan Raya AS meramalkan jumlah rekod pengundi sekitar 150 juta, mewakili 65 peratus bilangan layak mengundi, sekali gus mencatatkan kadar tertinggi sejak 1908.    

Data turut menunjukkan, lebih ramai pengundi AS sudah mengundi dalam kempen Pilihan Raya Presiden kali ini berbanding tahun 2016, dengan jumlah undi diterima  melepasi 47 juta pada awal bulan ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya