JEDDAH: Fasa ketiga umrah melibatkan jemaah dari luar Arab Saudi bakal bermula pada November ini dan Kementerian Haji dan Umrah setakat 23 Oktober lalu sudah mengeluarkan lebih 650,000 permit umrah elektronik.
Lapor Arab News, dalam fasa ketiga, sebanyak 20,000 jemaah akan dibenarkan menunaikan rukun umrah setiap hari sambil mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan negara ini.
Setiausaha kementerian tersebut, Dr. Amr al-Maddah berkata, lebih 2.5 juta orang sudah memuat naik aplikasi Eatmarna dengan 1.2 juta pendaftaran.
Katanya, jumlah berapa kali jemaah boleh memohon permit untuk menunaikan umrah bergantung kepada jumlah pengunjung yang dibenarkan memasuki Masjidilharam.
“Setiap jemaah yang sudah menempah slot umrah perlu selesai menunaikannya sebelum membuat tempahan slot baharu.
“Hal ini kerana permohonan permit umrah sudah mencecah tahap maksimum, selain kerajaan perlu mengutamakan protokol kesihatan bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.
Selain itu, Amr menyatakan mana-mana jemaah yang sudah mendapat permit dan kemudiannya mempunyai gejala Covid-19 atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit virus itu boleh membatalkan pendaftaran mereka.