Kanak-kanak dijual ketika pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Kanak-kanak dijual ketika pandemik Covid-19

MUJEEB diselamatkan dalam satu operasi dijalankan polis dalam menumpaskan sindiket pemerdagangan kanak-kanak di Jaipur, India pada Ogos lalu. - CNN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dari India menceritakan kisahnya yang nyaris menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ketika pandemik Covid-19.

Remaja dikenali sebagai Mujeeb merupakan antara 19 kanak-kanak yang berjaya diselamatkan daripada dijual sebagai buruh paksaan di sebuah kilang gelang di Jaipur.    

Lapor CNN, Mujeeb mendedahkan, dia bersama beberapa kanak-kanak lain dari kampungnya di Bihar diminta untuk menaiki sebuah bas disewan khas untuk ke Jaipur pada Ogos lalu.

Katanya, seorang lelaki dari kampungnya menawarkan wang sejumlah 500 rupee (RM28.23) kononnya untuk mereka pergi bercuti di Jaipur.  

Menurut Mujeeb, bas itu bagaimanapun ditahan oleh polis ketika memasuki Jaipur.

Lelaki itu bersama dua suspek ditahan dan didakwa di bawah undang-undang pemerdagangan kanak-kanak.

Di India, kanak-kanak bawah umur yang berusia dari 14 tahun, hanya dibenarkan bekerja membantu menguruskan perniagaan keluarga mereka dan bukannya melakukan kerja-kerja berbahaya.  

Namun, disebabkan ekonomi negara terjejas dan ramai kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19, keadaan itu menyebabkan lebih banyak keluarga di negara ini membiarkan anak-anak mereka untuk bekerja bagi kelangsungan hidup.  

Kilang pembuatan gelang disenaraikan sebagai salah satu industri yang melarang pengambilan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun untuk bekerja.

Menurut seorang aktivis dari pertubuhan Bachpan Bachao Andolan, Kailash Satyarthi, kanak-kanak tidak pernah menghadapi krisis seperti itu.

“Ini bukan sekadar mengenai krisis kesihatan mahupun ekonomi tetapi ia adalah isu keadilan, kemanusiaan, zaman kanak-kanak dan masa depan seluruh generasi,” katanya. 

Jelas Kailash yang juga pemenang hadiah Nobel Keamanan, penjenayah menggunakan situasi itu dengan mensasarkan keluarga yang terdesak akibat kemiskinan kesan pandemik Covid-19.   

Menurut Bachpan Bachao Andolan, seramai 1,127 kanak-kanak yang disyaki diperdagangkan berjaya diselamatkan di seluruh India bagi tempoh antara April hingga September lalu.  

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 86 individu terlibat dalam sindiket itu juga berjaya ditahan.

Tambah pertubuhan itu, sebahagian besar kanak-kanak yang diselamatkan berasal dari kawasan luar bandar di negeri miskin seperti Jharkand atau Bihar.  

Dalam pada itu, Ketua Suruhanjaya Perlindungan Hak Kanak-kanak Bihar, Pramila Kumari berkata, pihaknya menerima lebih banyak aduan berhubung pemerdagangan manusia sepanjang pandemik Covid-19 di India.

Katanya, pemerdagangan kanak-kanak boleh berlaku dalam beberapa cara termasuk ketika golongan itu diperdaya, dipaksa atau dipujuk untuk meninggalkan rumah mereka dan kemudian dieksploitasi, dipaksa bekerja atau dijual. 

Beberapa pakar berpandangan kanak-kanak mungkin tergoda dengan janji-janji palsu tanpa diketahui oleh ibu bapa mereka seperti kes Mujeeb. 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya