NEW YORK: Facebook buat pertama kalinya melarang sebarang kandungan yang menolak dan memutar belit fakta mengenai tragedi Holocaust.
Lapor BBC, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada dasar baharu rangkaian media sosial itu.
Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg (gambar) berkata, beliau berdepan dengan tekanan antara kebebasan bersuara dan larangan catatan berhubung tragedi tersebut, namun tindakan yang diambil adalah langkah tepat.
“Pemikiran saya kini berubah selepas melihat peningkatan data berhubung kandungan keganasan anti-Semitik dalam Facebook, sama seperti ucapan kebencian.
“Membezakan antara ucapan yang boleh diterima dan sebaliknya bukan perkara mudah tetapi mengambil kira situasi semasa dunia, saya percaya tindakan ini adalah keseimbangan yang tepat,” katanya.
Awal tahun ini, Facebook melarang ucapan berunsur kebencian termasuk kandungan anti-Semitik.
Namun, kandungan fakta tidak benar mengenai Holocaust tidak pernah disekat.
Dalam pada itu, Naib Presiden Polisi Kandungan Facebook, Monika Bickert berkata, syarikatnya membuat keputusan selaras dengan peningkatan carian kandungan berkaitan anti-Semitisme di peringkat global dan tahap pengabaian mengenai Holocaust yang membimbangkan dalam kalangan orang muda.
Katanya, pada akhir tahun ini, mana-mana pengguna yang membuat carian mengenai Holocaust di Facebook akan mendapat maklumat yang boleh dipercayai.