BRUSSELS: Belgium melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam bermula hari ini di seluruh negara manakala Switzerland mewajibkan penduduknya memakai pelitup muka di tempat tertutup ketika jumlah kematian akibat Covid-19 di benua Eropah melepasi 250,000 kes.
Kafe serta restoran di sekitar Belgium diarahkan ditutup selama empat minggu ketika negara ini terus bergelut dengan ancaman Covid-19.
Namun, tindakan tersebut mendapat bantahan daripada pemain industri perniagaan yang terjejas teruk akibat wabak berkenaan.
Seorang pengurus restoran, Angelo Bussi berkata, keputusan kerajaan untuk menutup semua kafe dan restoran di seluruh negara ‘amat menyakitkan’.
“Kami amat terseksa dengan keadaan ini. Semua orang berada dalam keadaan terdesak dan sangat teruk,” katanya.
Perancis pada minggu lalu turut melaksanaka perintah berkurung waktu malam di beberapa bandar utama termasuk Paris selepas negara itu merekodkan 32,400 kes jangkitan baharu kelmarin.
Semalam, Itali juga memperketatkan sekatan Covid-19 sebagai usaha negara itu menghadapi gelombang kedua Covid-19.
Perdana Menteri Itali, Guiseppe Conte berkata, negara itu tidak boleh ‘membuang masa’ dan perlu mengambil langkah segera bagi mengekang penularan Covid-19. – AFP