Paris: Perancis mula terancam selepas negara Asia Barat melancarkan boikot terhadap barangan keluaran negara itu.
Lapor BBC, tindakan boikot itu dilancarkan susulan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron terhadap Islam ketika membuat kenyataan berhubung insiden pembunuhan guru lelaki yang dipenggal kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.
Susulan itu, negara tersebut meminta supaya tindakan boikot itu dihentikan kerana menurut Menteri Luarnya, tindakan itu adalah tidak berasas yang digerakkan oleh sekumpulan minoriti radikal.
Produk dari Perancis seperti barangan kecantikan dikosongkan di bahagian rak di beberapa pasar raya di Kuwait, Jordan dan Qatar, sementara protes turut kelihatan di Libya, Syria dan Semenanjung Gaza.
Di Kuwait, majoriti kesatuan peniaga melancarkan boikot terhadap barangan dari negara itu, malah mesej mengenai tindakan sama turut tersebar di negara Arab lain seperti Arab Saudi.
Tanda pagar menggesa pemboikotan terhadap rangkaian pasar raya di Perancis iaitu Carrefour merupakan topik kedua paling trending di Arab Saudi yang merupakan negara Arab terbesar dalam sektor ekonomi.
Macron menyifatkan pembunuhan guru itu kerana orang Islam mahu masa depan mereka dan negara itu tidak akan berputus asa dengan kartun itu.
Pemimpin politik di Turki dan Pakistan menuduh Macron tidak menghormati prinsip kebebasan kepercayaan sekali gus meminggirkan nasib jutaan umat Islam di Perancis.
Ahad lalu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan secara sinis mencadangkan buat kali kedua kepada Macron supaya melakukan pemeriksaan terhadap kesihatan mentalnya mengenai pandangan terhadap Islam.