JAKARTA: Kerajaan Belanda menyatakan kesediaan untuk membayar pampasan sebanyak 87.2 juta rupiah (RM24,676) kepada balu dan anak-anak mangsa kekejaman tentera negara itu ketika era peperangan pada 1940-an.
CNN Indonesia melaporkan, awal tahun ini, mahkamah memerintahkan negara itu membayar pampasan terhadap balu dan 11 kanak-kanak kerana bapa mereka dibunuh tentera Belanda di Sulawesi Selatan pada 1946 hingga 1947.
Menteri Luar Negeri Belanda, Stef Blok dan Menteri Pertahanannya, Ank Bijeveld menyatakan mana-mana keluarga yang dapat membuktikan bapa mereka menjadi mangsa korban semasa
zaman penjajahan itu berhak menerima pampasan.
“Bagi mendapatkan pampasan, mereka perlu memenuhi kriteria termasuk bukti yang menunjukkan orang tua mereka dihukum bunuh serta waris perlu memiliki
butiran pengenalan diri mangsa,” katanya.
Seramai 869 mangsa terkorban dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Belanda di Sulawesi Selatan antara Disember 1946 hingga April 1947.
Kerajaan Belanda pada 2013 lalu, menzahirkan permohonan maaf atas pembunuhan yang dilakukan oleh tenteranya dan bersedia memberikan pampasan.
Mahkamah di Den Haag pada 2015 memutuskan Belanda perlu membayar pampasan itu kepada keluarga mangsa yang dibunuh semasa perang itu.
Keputusan yang diputuskan oleh tiga hakim dalam perbicaraan itu menyatakan Belanda perlu bertanggungjawab memberikan pampasan kepada rakyat Indonesia yang dibunuh sewaktu zaman penjajahan tersebut.