JEDDAH: ‘Saya bersyukur kerana sekali lagi berpeluang mencium bau syurga dunia di Raudhah.’
Itu adalah reaksi jemaah umrah yang dibenarkan menunaikan solat di Masjidilharam dan Raudhah di Madinah selepas kawasan suci itu ditutup selama tujuh bulan akibat pandemik Covid-19.
Hanan al-Jihani, 39, memberitahu dia sempat menempah slot untuk menunaikan solat di Raudahah menggunakan aplikasi Eatmarna.
“Berpeluang menjejakkan kaki dan menunaikan solat di Raudhah merupakan pengalaman yang luar biasa dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Sebelum masuk ke Raudhah, semua jemaah akan menjalani pemeriksaan suhu badan dan memakai gel sanitasi sebagai langkah kesihatan,” katanya seperti yang dilapor Arab News.
Hanan turut memuji mereka disambut oleh petugas wanita yang peramah dan sedia membantu apa sahaja untuk kemudahan para jemaah.
Seorang lagi jemaah, Eman Mahmoud dari Jeddah menyatakan kerinduannya terhadap Masjid an-Nabawi terubat selepas kerajaan membenarkan pengunjung solat di dalam masjid tersebut.
“Perasaan dapat melawat sekali lagi makam Nabi Muhammad SAW sukar digambarkan dengan kata-kata. Alhamdulilllah untuk semua peluang ini,” ujarnya.
Semalam, fasa kedua umrah bermula melibatkan kapasiti jemaah sebanyak 75 peratus.
Para jemaah terdiri daripada penduduk di negara ini dan jemaah luar dijangka boleh menunaikan umrah pada November menerusi fasa ketiga.