WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengerahkan beberapa kapal peronda perairan di Pasifik barat bagi menangani pencerobohan yang dilakukan oleh China di wilayah tersebut.
apor Al Jazeera, Penasihat Keselamatan Kebangsaan White House, Robert O’ Brien dalam satu kenyataan menegaskan Pengawal Pantai AS bercadang untuk menempatkan kapal `Fast Response Cutters’ secara strategik di Pasifik barat.
Sambil menggambarkan AS sebagai kuasa Pasifik, O’Brien menyelar tindakan China yang melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram dan tidak teratur.
Beliau juga mengecam kapal China yang beroperasi di zon ekonomi eksklusif negara lain di Indo-Pasifik.
Katanya, kesemua tindakan itu bukan hanya mengancam kedaulatan AS malah negara-negara jiran Pasifik lain serta menjejaskan kestabilan wilayah tersebut.
Jelas beliau, segala usaha dilakukan oleh AS adalah amat penting bagi mengatasi tindakan yang boleh memburukkan dan menggugat kestabilan wilayah .
Setakat ini, Pengawal Pantai AS masih belum memberi maklum balas berhubung kenyataan penasihat keselamatan tertinggi itu.
Dalam pada itu, O’Brien berkata, Pengawal Pantai AS yang berada di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) juga sedang mengkaji sama ada untuk menempatkan kapal-kapal peronda secara kekal di kawasan Samoa Amerika di Pasifik Selatan.
Bulan lalu, Indonesia mengemukakan bantahan selepas beberapa kapal peronda China melakukan perjalanan ke zon ekonomi eksklusif negara itu yang terletak di antara perairan wilayahnya dan antarabangsa.
Kapal tersebut juga didakwa menceroboh kawasan perairan hak eksklusif untuk membangunkan sumber semula jadi.
China menuntut hampir kesemua kawasan di Laut China Selatan sebagai miliknya.
Vietnam, Malaysia, Taiwan, dan Filipina juga membuat tuntutan bertindih terhadap wilayah di perairan itu yang penting untuk pelayaran dan perdagangan antarabangsa.