JAKARTA: Ratusan tan ikan yang diternak dalam Keramba Jaring Apung (KJA) di perairan Danau Toba di Kampung Sigungogung, Wilayah Samosir, dilaporkan mati secara tiba-tiba.
Lapor Kompas.com, Ketua Jabatan Pertanian dan Perikanan Wilayah Samosir, Vicktor Sitinjak berkata, sebanyak 109 tan ikan yang melibatkan 38 KJA, disahkan mati.
Jelasnya, ikan-ikan tersebut mula mati pada Khamis lalu yang dipercayai disebabkan faktor cuaca iaitu angin kencang.
Kata beliau, kedudukan sangkar juga berada dalam air yang cetek sehingga angin kencang berlaku menyebabkan air berpusing ke bawah dan mengakibatkan kotoran dan sisa makanan haiwan timbul.
“Ikan-ikan di dalam sangkar tidak dapat bernafas kerana kekurangan oksigen,” katanya.
Menurut Vicktor, kejadian sedemikian bukan kali pertama malah pernah berlaku sebelum ini.
Jelasnya, pada 2019, kejadian serupa pernah berlaku di perairan Danau Toba yang terletak di sempadan antara Wilayah Dairio dan Wilayah Samosir.
Vicktor turut mengesahkan kematian ikan tersebut bukan disebabkan oleh penyakit atau pencemaran semata-matanya kerana ikan tersebut tidak dapat bernafas.
“Saya mencadangkan agar KJA yang kini berada di perairan cetek itu dipindahkan ke tempat sesuai dan lebih dalam, supaya jika air berpusing di bawah, ia mungkin tidak timbul di atas,” katanya.