NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperingati ulang tahunnya yang ke-75 hari ini, meraikan mantera ‘multilateralisme bukanlah pilihan tetapi keperluan’, walaupun Covid-19 membataskan kerjasama antarabangsa.
Menurut AFP, ulang tahun itu dimulakan dengan Perhimpunan Agung PBB (UNGA), ketika pemimpin dunia hampir 200 negara berhimpun membicarakan masalah dunia selain menawarkan pelbagai penyelesaian.
PBB ditubuhkan pada 1945 setelah 50 negara bersidang di San Francisco untuk menyusun Piagam PBB sebagai institusi antarabangsa yang ‘akan menyelamatkan generasi berikutnya daripada bencana perang’.
Sejak itu, PBB berkembang menjadi organisasi yang berdepan pelbagai situasi.
Bagaimanapun, kritikan dan persoalan yang berlanjutan tetap ada mengenai masa depannya.
Adakah PBB masih relevan? Adakah masih sesuai memikul tanggungjawab asal? Adakah masih diperlukan oleh kebanyakan negara?
Menurut Profesor Madya Mark S. Cogan dari Pusat Pengajian Konflik dan Keamanan, Universiti Kansai Gaidai, Osaka, jawapannya adalah kompleks, sama seperti birokrasinya.
“Melihat hanya kepada ‘organ’ PBB, pembaharuan secara besar-besaran perlu dilakukan. Lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menguasai badan keselamatan yang semakin tua itu dan menyulitkan perkara yang menjadi perhatian dunia.
“Kegagalan paling utamanya adalah di Rwanda pada 1994. UNSC gagal mengakui pembunuhan beramai-ramai terhadap minoriti Tutsi sedang berlaku dan gagal melindungi penduduk awam Rwanda yang tidak bersalah,” katanya dalam analisis yang disiarkan South China Morning Post.
Katanya, hari ini UNSC telah gagal di Syria ketika 500,000 penduduk terbunuh, 5.5 juta menjadi pelarian dan lebih 6.6 juta kehilangan tempat tinggal.
Tambahnya, ‘campur tangan’ dalam misi pengaman tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
Beliau berkata, misi pengaman sentiasa kekurangan ‘sumber daya’ dan dapat dilihat ketika konflik Rwanda apabila 2,548 anggota pasukan pengaman dikurangkan menjadi 270 orang untuk melindungi ratusan ribu ‘jiwa yang tidak berdosa.
KEGAGALAN UNSC SERIUS
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Hal Ehwal Antarabangsa Rusia, Andrey Kortunov berkata, PBB secara konsisten gagal menangani konflik ganas di beberapa wilayah, sama ada di Asia (Syria), Eropah (Ukraine) atau Afrika (Libya).
Katanya, Resolusi UNSC sering kali mempengaruhi tingkah laku negara-negara anggota PBB.
“Ruang pertemuan UNSC kadang-kadang berubah menjadi tempat ‘bergaduh’ daripada menjadi tempat tenang mencapai kata sepakat terhadap ancaman dan cabaran.
“Setiap kegagalan mencapai kesepakatan dalam UNSC mengakibatkan kerosakan serius kepada reputasi badan dunia tersebut,” katanya dalam analisis di Global Times.
Selain itu katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Washington menunjukkan sikap yang sangat kritikal, berat sebelah dan tidak bertanggungjawab terhadap sistem PBB.
Beliau berkata, pembaharuan sebenar PBB tidak boleh bermula di New York tetapi perlu dilakukan ketua-ketua kerajaan setiap negara anggota.
“PBB, sama seperti pertubuhan dunia lain, sama ada baik atau buruk, bergantung kepada bagaimana negara anggota menginginkannya. Negara-negara bangsa, termasuk yang paling kuat, perlu menunjukkan tekad melakukan pembaharuan,” katanya.