Tuntut reformasi kerajaan monarki - Utusan Malaysia

Tuntut reformasi kerajaan monarki

PENUNJUK perasaan prodemokrasi berhimpun di Bangkok, Thailand, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pergerakan pro­demokrasi disertai kumpulan mahasiswa dari sejumlah universiti menyaksikan Thailand ‘meriah’ dengan beberapa siri protes di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.

Mereka secara terbuka menggesa reformasi kerajaan monarki negara ini dilakukan segera.

Satu lagi protes diadakan di sini semalam, menyaksikan puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun dan berarak biarpun kerajaan memberi amaran Thailand boleh terjerumus ‘ke dalam kehancuran’ jika golongan itu terus mendesak.

 

Apa penunjuk perasaan mahukan?

Penunjuk perasaan berhimpun sebagai membantah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha.

Bekas ketua tentera Thailand itu mengetuai gerakan menggulingkan kerajaan pada 2014 dan menyebabkan kerajaan Thailand berada di bawah pentadbiran junta tentera selama lima tahun.

Di bawah junta, satu perlembagaan baharu digubal sebelum pilihan raya umum diadakan tahun lalu.

Prayut dipilih sekali lagi untuk memimpin kerajaan, namun penunjuk perasaan menyifatkan keputusan itu ‘dirancang’ dan menggesa Parlimen dibubar selain perlembagaan digubal semula.

Penunjuk perasaan mengemukakan 10 permintaan jika kerajaan monarki dikekalkan.

Ini termasuk membubarkan un­dang-undang fitnah yang melindungi keluarga kerabat diraja daripada kritikan.

Undang-undang itu disifatkan sebagai ‘paling keras’ di dunia apabila mana-mana pesalah boleh dihukum penjara selama 15 tahun bagi setiap pendakwaan.

 

Kenapa sekarang?

Rasa tidak puas hati bermula Februari lalu apabila pemimpin pembangkang yang ter­kenal dalam kalangan belia tidak dibenarkan berpolitik.

Penunjuk perasaan berpandangan tindakan terhadap Parti Future Forward itu berasaskan politik semata-mata.

Covid-19 juga menyaksikan ekonomi Thailand terjejas teruk sekali gus meluaskan jurang golongan kaya dan miskin.

Jun lalu, aktivis Wanchalearm Satsaksit yang hidup dalam buangan di Kemboja dilaporkan ‘hilang’.

Kumpulan aktivis menerusi Twitter menggesa kerajaan memberi penjelasan mengenai kehila­ngan Wanchalearm.

Gesaan itu semakin memuncak pertengahan Julai lalu me­nyaksikan beberapa siri protes diadakan di seluruh negara dan dianggarkan 30,000 penunjuk perasaan menyertai de­monstrasi semalam, yang terbesar sejak 2014.

 

Kenapa protes kali ini berbeza?

Thailand sudah berdepan dengan banyak tunjuk perasaan sebelum ini.

Namun tunjuk pe­rasaan sebelum ini didakwa dilakukan dengan sokongan kewangan dan ahli politik.

Siri protes yang berlaku ketika ini dilihat cukup berbeza apabila tiada penyertaan mahupun sokongan mana-mana ahli politik.

Mereka juga berani mengete­ngahkan isu berkaitan kerajaan monarki yang dianggap ‘taboo’ dalam negara.

 

Bagaimana reaksi rakyat?

Bercampur-campur. Gerakan prodemokrasi yang dimulakan kumpulan mahasiswa mendapat sokongan meluas rakyat terutamanya golongan pertengahan.

Pergerakan itu turut merebak ke sekolah tinggi di seluruh negara dengan golongan pelajar mengikat tali putih pada rambut dan beg sebagai tanda solidariti.

Kumpulan prokerajaan turut ‘membalas’ protes yang diadakan dengan mengadakan demonstrasi dalam skala kecil.

Ketua Tentera, Apirat Kongsompong menegaskan, ‘kebencian terhadap bangsa’ adalah penyakit yang tidak dapat disembuhkan.

Sehingga kini, puluhan penunjuk perasaan ditahan dan didakwa menghasut serta me­langgar perintah berkurung susulan Covid-19.

Kesemuanya dibebaskan de­ngan ikat jamin.

 

Apa akan berlaku selepas ini?

Penganalisis politik Universiti Naresuan, Paul Chambers berkata, penunjuk perasaan secara tidak langsung ‘sudah memulakan sesuatu yang tidak boleh dihentikan’.

Konflik yang berlaku ketika ini mengingatkan kepada tragedi Universiti Thammasat pada Oktober 1976.

Tragedi itu menyaksikan pelajar yang melakukan tunjuk perasaan bagi membantah pe­mimpin tentera diktator ditembak dan dipukul sehingga mati.

Namun penganalisis politik Universiti Ubon Ratchathani, Ti­tipol Phakdeewanich menegaskan, menggunakan kekerasan bukanlah yang terbaik ketika ini kerana langkah itu hanya akan ‘menamatkan kuasa ketenteraan’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya