GENEVA: Satu bagi setiap tujuh kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melibatkan petugas perubatan.
Namun bagi sesetengah negara, nisbah kes menunjukkan kebimbangan yang tinggi iaitu satu bagi setiap tiga kes.
Untuk itu WHO mahu petugas perubatan khususnya barisan hadapan melawan jangkitan itu diberikan peralatan perlindungan yang efektif bagi mencegah mereka dijangkiti selain berpotensi menyebarkannya kepada pesakit dan ahli keluarga.
“Secara global, kira-kira 14 peratus kes Covid-19 yang dilaporkan kepada WHO adalah petugas perubatan dan bagi sesetengah negara, ada mencatatkan 35 peratus,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus seperti dilaporkan Reuters.
Katanya, data yang diperoleh cukup terhad dan sukar untuk mengesan sama ada mereka dijangkiti di tempat kerja atau ketika berada di dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika taklimat media sempena Hari Keselamatan Pesakit Dunia dengan jumlah mereka yang dijangkiti Covid-19 kini melepasi angka 30 juta manakala lebih 900,000 kematian dicatatkan.
“Ini bukan hanya risiko jangkitan. Setiap hari petugas perubatan terdedah kepada tekanan, keletihan, stigma, diskriminasi, malah keganasan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO), Gur Ryder berkata, angka yang dilaporkan WHO itu merupakan ‘keterangan yang mengejutkan’.
“Keselamatan pesakit memerlukan jaminan keselamatan petugas perubatan, kedua-duanya sama penting. Malangnya jaminan itu sering ‘dibiarkan begitu sahaja’,” katanya.
MELIHAT KEMATIAN DEPAN MATA
Ketua Kecemasan WHO, Mike Ryan pula berkata, tiga perkara menghantui petugas perubatan di barisan depan ‘melawan’ penularan Covid-19.
“Salah satunya adalah mereka berdepan setiap hari dan menjadi pemerhati pesakit yang meninggal dunia dan tidak dapat membantu mereka.
“Kedua, melihat rakan sekerja dan rakan-rakan dijangkiti Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, perkara ketiga dan paling banyak membebani petugas perubatan adalah kemungkinan membawa pulang penyakit itu kepada keluarga, rakan-rakan atau anak-anak mereka.
Menurut laporan Majlis Jururawat Antarabangsa, lebih 1,000 jururawat meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.
EMPAT KEUTAMAAN
Dalam perkembangan sama, Ghebreyesus menggariskan empat keutamaan memerangi penularan Covid-19 iaitu:
- Melarang acara melibatkan perhimpunan besar seperti di stadium dan kelab malam yang mampu meledakkan jangkitan;
- Melindungi mereka yang berisiko dijangkiti selain mengurangkan beban sistem kesihatan;
- Mendidik masyarakat mengenai penjarakan fizikal, kebersihan tangan dan etika pemakaian pelitup muka untuk mengekang penularan;
- Mengasingkan, menguji dan merawat kes selain mengesan dan mengkuarantin mereka yang dijangkiti.
“Sudah ada banyak contoh negara yang secara efektif mencegah atau mengawal wabak dengan melibatkan empat perkara itu termasuk New Zealand, Mongolia dan Iceland,” katanya.