LONDON: Wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang berlaku pada 2002 merupakan amaran pandemik yang tidak dihiraukan oleh kebanyakan lapangan terbang.
Lapor Channel News Asia, pensyarah kanan dari Universiti Cranfield di Britain, Henrik Rothe berkata, pihak pengurusan lapangan terbang harus menilai semula operasi mereka dalam jangka masa panjang.
Malah, beliau yang pernah mereka bentuk lapangan terbang di 45 negara memberitahu, lapangan terbang juga perlu berubah menjadi lebih berorientasi perniagaan dan infrastruktur berbanding menyediakan kemudahan yang tiada kepentingan jangka panjang semata-mata.
“Perubahan lebih besar amat diperlukan. Lapangan terbang harus menjadi pusat komersial serbaguna, lestari dan mempunyai ketahanan bagi menghadapi kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Jelas Rothe, sebarang perkara berkaitan lapangan terbang adalah sesuatu yang kompleks dan semua pihak berkepentingan perlu bersama membayangkannya.
Dalam pada itu, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci berkata, pembinaan terminal baharu harus lebih memfokuskan ruang bukan sahaja untuk wabak Covid-19 tetapi pelbagai penyakit berkaitan sistem pernafasan.
“Keadaan yang sesak di lapangan terbang biasanya membuatkan saya berasa tidak selesa terutamanya di terminal yang kurang canggih.
“Penumpang secara tidak langsung bersesak menunggu untuk menaiki kapal terbang,” katanya.
Jelas beliau, terminal baharu juga perlu menyediakan ruang yang mencukupi untuk bagi membolehkan orang berlegar dengan selesa, membangunkan sistem pengudaraan dan mengedarkan pelitup muka secara percuma.
Fauci juga mahu saringan kesihatan di lapangan terbang dipertingkatkan untuk mencegah kluster penyebaran virus sepertimana berlaku di Wuhan, China dan Milan di Itali.
Tambahnya, saringan tersebut merangkumi pemeriksaan suhu badan, pertanyaan dan pengesanan kontak.
“Ini kerana 40 peratus kes Covid-19 tidak mempunyai gejala. Jadi tugasnya amat mencabar namun berbaloi,” katanya.