BEIJING: Konflik wilayah maritim Asia Pasifik semakin membimbangkan apabila angkatan udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) menyiarkan video propaganda melibatkan simulasi perang.
Video itu memperlihatkan pesawat pengebom H-6 berkemampuan nuklear melakukan serangan terhadap Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam, pangkalan tentera milik Amerika Syarikat (AS).
South China Morning Post melaporkan, video propaganda itu seakan-akan meniru aksi filem Hollywood ketika ‘ketegangan di wilayah Pasifik terus meningkat’ melibatkan Beijing dan Washington.
Pemerhati filem mendapati, beberapa adegan dalam video yang dihasilkan untuk angkatan udara PLA seperti aksi filem anugerah Oscar, The Hurt Locker dan The Rock terbitan 1996.
Adegan dalam video tersebut antara lain memaparkan latihan pengeboman di sebuah pangkalan tentera AS di wilayah Pasifik.
Sumber rapat PLA mengesahkan perkara tersebut.
Sumber yang tidak mahu dikenali itu berkata, ini adalah perkara biasa bagi jabatan publisiti PLA meniru aksi-aksi filem Hollywood agar produksi mereka kelihatan hebat.
“Hampir semua pegawai di jabatan itu membesar menonton filem Hollywood, jadi dalam fikiran mereka, filem berunsur perang Amerika memiliki imej yang hebat,” katanya.
Pada 2011, stesen penyiaran China, CCTV menyiarkan filem latihan PLA yang antara lain memaparkan rakaman ‘dipinjam’ daripada filem Hollywood, Top Gun yang dibintangi pelakon terkenal Tom Cruise.
Pengulas isu ketenteraan, Song Zhongping berkata, penduduk China tidak peduli sama ada rakaman itu diambil dari filem Hollywood atau sebaliknya kerana lebih mengutamakan mesej filem tersebut yang menegaskan PLA tidak membenarkan campur tangan asing dalam isu Taiwan.
“Namun, PLA tidak hanya tertumpu pada Guam. AS mempunyai pengebom strategik yang dikerahkan di banyak pangkalan di seluruh rantau Asia Pasifik termasuk di Jepun,” kata Zhongping.
Dalam pada itu Reuters melaporkan, H-6 dikesan melakukan penerbangan di sekitar perairan Taiwan baru-baru ini.
TAIWAN ADA HAK SERANG BALAS
Terdahulu, Taiwan menegaskan pasukan bersenjatanya mempunyai hak untuk mempertahan dan melakukan serangan balas di tengah-tengah gangguan dan ancaman pihak luar.
Kenyataan Taiwan itu seolah-olah memberi amaran kepada China berikutan tindakannya menghantar beberapa pesawat menceroboh Selat Taiwan minggu lalu.
Lapor Channel News Asia, ketegangan semakin memuncak antara Taipei dan Beijing yang menganggap Taiwan sebahagian daripada wilayahnya dan akan mengambil secara paksa jika diperlukan.
Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, pihaknya sudah memaklumkan dengan jelas prosedur-prosedur serangan balas di tengah gangguan dan ancaman tinggi musuh.
Jelas kementerian itu, Taiwan berhak ‘mempertahankan diri dan menyerang’ berlandaskan garis panduan bagi mengelak berlakunya ketegangan dan insiden tidak diingini.
Katanya, Taiwan tidak akan melakukan provokasi dan tidak takut pada musuhnya.
Minggu lalu, China mengadakan latihan ketenteraan berhampiran Selat Taiwan ketika diplomat kanan AS melawat negara kepulauan itu.
Lawatan itu bagaimanapun membangkitkan kemarahan Beijing.
Akhbar rasmi, China Daily menerusi ruangan pengarang mendakwa AS cuba menggunakan Taiwan untuk mengawal China malah mana-mana individu tidak harus memandang rendah niatnya mempertahankan kedaulatan di kepulauan tersebut.