JAKARTA: Seperti tidak ada hentinya, siren ambulans di Jalan Benda Raya, Kalideres, Jakarta Barat, terus berbunyi silih berganti.
Sebahagian menuju ke kawasan seluas 5.4 hektar di salah satu sudut tempat pemakaman umum (TPU) Tegal Alur (tanah perkuburan Tegal Alur).
Kawasan itu adalah salah satu yang dijadikan kawasan perkuburan dengan protokol khusus untuk mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 mahupun yang disyaki dijangkiti penyakit itu.
Selain siren, suasana kubur ‘dipenuhi’ penggali kubur dilengkapi sut perlindungan diri (PPE) bergantian bekerja di bawah terik matahari.
“Ini ibadah,” jelas salah seorang penggali kubur, Epeng, 54, kepada Republika selepas menguruskan pengebumian jenazah dengan protokol kesihatan.
Epeng bekerja sebagai penggali kubur TPU Tegal Alur sejak 2014.
Katanya, kekerapan pengebumian dengan protokol Covid-19 sejak kebelakangan ini semakin banyak.
Baru lima minit melepaskan PPE untuk menunaikan solat Zuhur di masjid berhampiran, ‘loceng’ kerjanya berbunyi.
Dia diberitahu ada jenazah lain yang harus dikebumikan dengan protokol Covid-19 dan terpaksa mengenakan kembali sut PPE bersama tiga lagi rakannya.
Di TPU Tegal Alur, terdapat dua kawasan terpisah di kawasan kuburan Islam.
Kawasan perkuburan di sebelah utara telah penuh dengan jenazah Covid-19 sejak Mac lalu.
Oleh yang demikian, kawasan di bahagian selatan ‘dibuka untuk jenazah Covid-19’.
Dari pemantauan Republika, dalam tempoh satu jam, ada tiga kenderaan jenazah menghantar jenazah ‘protokol Covid-19’ di kawasan itu.
Kira-kira 70 peratus kawasan baharu itu juga sudah penuh.
Penyelaras gali kubur TPU Tegal Alur, Asep, 40, tidak mampu menjawab sama ada penambahan kawasan akan dapat menampung jenazah ‘yang terus berdatangan’.
“Kalau dilihat, memang tidak cukup. Kalau kawasan di selatan ini sudah penuh, ke mana lagi hendak dikebumikan (jenazah),” katanya.
Katanya, dalam sehari setidak-tidaknya ada 20 pengebumian dengan protokol khusus Covid-19.
“Paling sedikit belasan lubang kubur, paling banyak untuk Covid-19 ada di bawah 30 lubang sehari,” katanya.
Ditanya sama ada bilangan kubur yang digali itu adalah normal ketika hari sebelum Covid-19, jawabnya: “Tidak.”
Sekitar 50 kilometer dari TPU Tegal Alur, situasi di TPU Pondok Ranggon, Jakarta Timur juga berdepan perkara sama yang disediakan kawasan khusus untuk pengebumian dengan protokol Covid-19.
Salah seorang penggali kubur, Maman, 47, berkata, dia perlu berjaga 24 jam kerana banyak jenazah yang perlu dikebumikan.
“Kadang-kadang 20 jenazah dan paling banyak 34. Sebetulnya, saya sudah lelah (letih). Dalam hati kecil saya berkata, makin banyak orang yang berguguran (meninggal dunia),” katanya.
Maman menasihatkan orang ramai yang belum sepenuhnya mematuhi protokol kesihatan supaya berbuat demikian kerana kematian akibat Covid-19 semakin bertambah.
“Sebenarnya kesihatan itu buat diri sendiri, untuk keluarga. Kenapa ketika keluar dan berkumpul tidak memakai pelitup muka? Jarak (penjarakan fizikal) juga tidak dijaga,” katanya.
Selama sebulan ini, Maman sudah mengebumikan 180 jenazah dan melihat kawasan kubur di Pondok Rangon seluas dua hektar sudah semakin penuh.
Sehingga akhir bulan lalu, sebanyak 1,197 kematian akibat Covid-19 direkodkan di Jakarta.
Jumlah kes kematian di negara ini akibat pandemik itu menduduki tangga ke-19 dari 215 negara.
JADIKAN PENGAJARAN
Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 100 doktor di Indonesia meninggal dunia selepas merawat pesakit Covid-19.
Ikatan Doktor Indonesia (IDI) berharap agar perjuangan pengamal perubatan yang meninggal dunia menjadi pengajaran semua.
Pengerusi Lembaga Eksekutif IDI, Daeng Faqih mengakui sedih mendengar berita kematian 100 doktor akibat wabak Covid-19.
Beliau juga berharap agar insiden itu menjadi titik tolak semua pihak berganding bahu dan saling bekerjasama menangani Covid-19.