JEDDAH: Pendirian Arab Saudi dalam perjuangan Palestin tidak akan berubah biarpun kerajaan membenarkan semua penerbangan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara lain melalui ruang udara Saudi.
Baru-baru ini, dasar penerbangan negara diubah mengikut permintaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UAE.
“Pendirian tegas kerajaan terhadap perjuangan Palestin dan rakyat Palestin tidak akan berubah ketika membenarkan penerbangan ke dan dari UAE melewati ruang udara Saudi.
“Kerajaan menghargai semua upaya untuk mencapai perdamaian yang adil dan berkekalan sesuai dengan Inisiatif Damai Arab,” kata Menteri Luar, Putera Faisal bin Farhan.
Penganalisis politik, Dr. Hamdan Al-Shehri memberitahu Arab News, kerajaan tahu bagaimana memisahkan kedua-dua isu tersebut.
“Ya, kami membenarkan penerbangan, tetapi itu tidak bermaksud kami melupakan isu asal,” katanya.
Bulan lalu, UAE dan Israel mewujudkan hubungan diplomatik diikuti delegasi bersama Tel Aviv dan Amerika Syarikat (AS) menyertai penerbangan sulung Tel Aviv-Abu Dhabi baru-baru ini.
Dalam pada itu, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al Thani ketika memberitahu penasihat White House, Jared Kushner menegaskan, Doha menyokong penuh penyelesaian dua negara dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin, bagi menamatkan konflik Asia Barat.
Malah beliau berkata, Doha kekal komited kepada Inisiatif Damai Arab 2002, antaranya Israel perlu keluar dari wilayah yang dijajahnya dalam Perang Asia Barat 1967.