COLOGNE: Mahkamah di sebuah bandar kecil dekat sini menolak permohonan penduduk tempatan yang mahu pihak berkuasa melarang masjid menggunakan pembesar suara ketika azan.
Al-Jazeera melaporkan, pertikaian di mahkamah itu berlanjutan selama lima tahun melibatkan komuniti Islam Turki dan penduduk di Oer-Erkenschwick di negeri North Rhine-Westphalia.
Keputusan mahkamah itu membolehkan komuniti Islam di bandar tersebut menggunakan pembesar suara ketika azan.
Penduduk tempatan mengemukakan aduan pada 2015 terhadap kebenaran kepada umat Islam menggunakan pembesar suara sekurang-kurangnya 15 minit antara tengah hari sehingga pukul dua petang pada Jumaat.
Ketika prosiding mahkamah, laungan azan ‘disenyapkan’ selama lima tahun kerana aduan berkenaan.
Aduan dimulakan sepasang suami isteri yang tinggal sekitar 900 meter dari masjid dan mendakwa kebebasan beragama mereka terganggu kerana laungan azan.
Mahkamah yang bersidang di Muenster menolak hujah itu.
“Setiap masyarakat mesti menerima kepercayaan masing-masing,” kata Hakim Annette Kleinschnittger.
Beliau menegaskan, selama tidak ada yang dipaksa menganuti sesuatu agama, tiada alasan untuk membuat aduan tersebut.
Ketika ini, terdapat lima juta penduduk Islam di Jerman.