LONDON: Bagi Jawahir Roble, bola sepak bukannya sekadar hobi tetapi ‘semangatnya’.
Dilahirkan di Somalia, wanita berusia 25 tahun itu membesar dengan bermain bola sepak bersama rakan-rakannya di tepi pantai.
Jawahir amat mencintai Somalia, negara yang disifatkannya cukup cantik, tetapi perang saudara berpanjangan mengubah segala-galanya.
Tidak lagi berasa selamat di ‘rumah sendiri’, keluarga Jawahir melarikan diri ke England ketika dia berusia 10 tahun.
Aura positif bagi keluarga Jawahir adalah ‘lokasi akhirnya’ setiba di England, sebuah rumah di Wembley.
Menggantikan pantai Somalia dengan kawasan taman di London, bukannya satu peralihan yang mudah tetapi sepanjang bola sepak berada di kaki, dia dan adik-beradiknya gembira.
Walaupun ibu bapanya meminati sukan bola sepak, mereka tidak begitu selesa jika anak perempuan ‘meneruskan kerjaya dalam sukan itu’.
Ini menyebabkan Jawahir berlatih secara diam-diam.
“Saya ingin menjadikan ibu bapa saya bangga. Saya perlu membuat impian menjadi kenyataan. Semoga suatu hari nanti mereka akan menerima saya untuk siapa diri saya. Sukan adalah perkara yang besar.
“Saya tidak menyalahkan mereka (tidak menggalakkan anak perempuan menceburi bidang sukan). Itu pemikiran mereka. Tetapi saya gembira kerana sekarang mereka sudah dapat menerima penglibatan saya dalam bola sepak,” katanya seperti dilaporkan CNN.
Setelah berhenti dari universiti, Jawahir menceburi bidang kejurulatihan dan pengurusan bola sepak.
Dari sana, dia menjadi sukarelawan di sebuah kelab tempatan dan secara kebetulan, diminta untuk mengadili perlawanan kecil.
Dia kini menjadi pengadil bagi perlawanan bola sepak lelaki dan wanita di peringkat bawah bola sepak Inggeris dan merupakan pengadil wanita Islam pertama United Kingdom.
“Saya tidak melihat diri saya sebagai gadis atau wanita Muslim, saya hanya melihat diri saya seseorang yang benar-benar mencintai bola sepak,” katanya.
Dia kini mempunyai impian mengadili beberapa liga dan kejohanan paling berprestij di dunia.