Iktiraf Israel ibarat iktiraf kekejaman - Utusan Malaysia

Iktiraf Israel ibarat iktiraf kekejaman

PENDUDUK Palestin mengadakan protes di Rafah bagi mengecam tindakan negara-negara Arab mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

Oleh DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
[email protected]

TINDAKAN Bahrain mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengadakan hubu­ngan diplomatik dengan Israel adalah satu bentuk pengkhianatan besar kepada perjuangan bertahun-tahun Palestin ke atas segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan Zionis.

Tindakan Bahrain jelas me­nunjukkan betapa lemahnya semangat persaudaraan sesama Islam yang sering dilaung-laungkan negara Islam sebelum ini.

Langkah itu juga meletakkan diri mereka sebagai negara Islam keempat dalam kalangan negara-negara Arab yang me­ngadakan hubungan diplomatik selepas Mesir, Jordan dan UAE.

Tindakan Bahrain dan UAE dibimbangi menyebabkan lebih banyak negara-negara Islam lain akan mengambil langkah sama, sekali gus memberi pengiktirafan kewujudan Israel sebagai sebuah negara.

Semua negara perlu faham, menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel dan mengiktiraf kewujudan Israel, mereka juga mengiktiraf segala kekejaman dan penindasan Zionis terhadap rakyat Palestin.

Buat sekian lama, Israel mengetepikan banyak peruntukan undang-undang antarabangsa dengan melakukan kekejaman dan penindasan tersebut.

Terdapat juga usaha Israel serta pihak-pihak tertentu yang bersekongkol untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas merdeka seperti pengisytiharan Baitulmuqaddis secara sepihak sebagai ibu kota Israel pada 2017.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu sendiri melalui kempen politiknya menyatakan banyak kali hasrat rejim Zionis mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel.

Ini jelas menunjukkan Israel memang tidak memiliki sebarang hasrat untuk berdamai serta membenarkan kewujudan sebuah negara Palestin. Ramai rakyat Palestin menjadi mangsa kekejaman dan penindasan Israel.

Pada masa yang sama, Israel melanggar berpuluh-puluh peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan di tanah Palestin.

Ini termasuk meluaskan serta menambah kawasan pe­nempatan Yahudi di kawasan milik Palestin, membina tembok pemisah serta menafikan hak jutaan pelarian Palestin yang berada di sekitar negara-negara Arab untuk kembali ke tanah mereka sendiri.

Daripada mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, satu tindakan tegas perlu diambil masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka hidup dalam sebuah

masyarakat yang bertamadun serta yang berpandukan undang-undang.

Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan ialah dengan menyingkir terus Israel dari PBB.
Israel perlu diingatkan penubuhan ‘negara haramnya’ pada 1948 banyak terhutang budi kepada PBB sendiri. Pada 1947, PBB memutuskan untuk membahagikan daerah mandat British di Palestin.

Keputusan terbabit ditentang keras negara-negara Asia Barat dan banyak negara Islam. Sejak itu, pelbagai masalah ditimbulkan terutamanya terhadap rak­yat Palestin yang juga jelas bertentangan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri.

Oleh yang demikian, sewajarnya Israel disingkir terus dari PBB.

Walaupun cadangan pe­nyingkiran itu sukar dilaksanakan namun langkah atau usaha yang patut diambil tersebut sekurang-kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada Israel dan sekutunya iaitu masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam.

Pada masa yang sama juga langkah penyingkiran Israel dari PBB dapat memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada Palestin.

PENULIS merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya