MUMBAI: Aktres Bollywood terkenal, Deepika Padukone merupakan seorang lagi selebriti yang dipanggil memberi keterangan dalam siasatan dadah berkaitan kes bunuh diri pelakon Sushant Singh Rajput.
Ini susulan saluran TV TimesNow pada awal minggu ini menyiarkan sebahagian perbualan WhatsApp mengenai pembelian dadah dengan mendakwa dua individu terlibat adalah Deepika dan pengurusnya.
Lapor Arab News, Timbalan Pengarah Biro Kawalan Narkotik India (NCB), K.P.S Malhotra berkata, pihaknya juga memanggil pelakon lain iaitu Sara Ali Khan, Shraddha Kapoor dan Rakul Preet Singh untuk disoal siasat.
Siasatan kes turut menyaksikan aktres Rhea Chakraborty ditahan kerana didakwa membeli dadah untuk bekas kekasihnya, Sushant yang ditemukan mati Jun lalu di apartmennya di Mumbai yang disahkan polis sebagai membunuh diri.
Polis juga menahan individu lain termasuk abang Rhea dan beberapa ahli keluarga Sushant.
Kematian pelakon yang membintangi banyak filem popular itu mencetuskan perbincangan umum mengenai tahap kesihatan mental dalam industri yang bernilai berbilion-bilion dolar itu.
Keluarga Sushant bagaimanapun menafikan laporan yang mendakwa pelakon itu menderita kemurungan, sebaliknya menuduh Rhea, 28, mencuri wang dan mengganggu aktor tersebut.
Rhea menafikan dakwaan itu.
Biro Penyiasatan Pusat menjalankan siasatan kes kematian Sushant sejak bulan lalu.
Malah NCB juga menyiasat kes tersebut dari segi pengambilan ganja melibatkan pelakon terbabit.