SYDNEY: China didakwa ‘meneruskan pelaburan’ dalam pembinaan kem tahanan di Xinjiang dengan lebih 380 kem dikenal pasti di wilayah berkenaan.
Kem-kem tersebut dipercayai menjadi pusat tahanan lebih sejuta etnik Islam Uighur dan etnik Islam lain.
Perkara itu didedahkan Institut Strategik Dasar Australia (ASPI), pendedahan yang mendorong gesaan menghukum Beijing atas amalan pencabulan hak asasi manusia di wilayah majoriti Islam tersebut.
Berdasarkan penyelidikan ASPI, jumlah kem yang dikesan itu dilaporkan 40 peratus lebih besar berbanding anggaran sebelum ini dan semakin bertambah biarpun China mendakwa ramai penduduk Islam Uighur dibebaskan.
Melalui imej satelit, ASPI bekata, berlaku kerja-kerja perluasan dan pembinaan baharu di 61 pusat tahanan antara Julai tahun lalu dan Julai ini.
Jelas ASPI, 14 pusat tahanan masih dalam pembinaan.
Separuh daripada kem yang diperluas baru-baru ini memiliki ciri keselamatan yang ditingkatkan dan menunjukkan peralihan kepada ‘pusat tahanan’ seakan-akan penjara.
Sebuah kem yang dibina seluas 100,000 meter persegi di Kashgar, berhampiran sempadan Kyrgyztan Januari lalu, terdiri daripada 13 bangunan lima tingkat dikelilingi tembok setinggi 14 meter.
Kem tersebut mampu menempatkan 10,000 tahanan.
Secara keseluruhan, ASPI mengenal pasti 380 kemudahan tahanan yang disyaki dibina sejak 2017.
“Ini memaksa Beijing berkonfrontasi dengan propagandanya sendiri. Pada mulanya mereka (China) mengatakan tiada kem dan apa sahaja dakwaan adalah pembohongan.
“Kemudian mereka beralih mengatakan kem adalah perlu untuk menghentikan keganasan. Selepas itu mereka kata tahanan sudah dibebaskan,” kata penyelidik utama ASPI, Nathan Ruser.
Penemuan terbaharu ASPI itu menjadi pendorong mendesak Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk meningkatkan tekanan terhadap Beijing yang bertanggungjawab terhadap ‘kekejaman’ hak asasi manusia di Xinjiang.
Pentadbiran Presiden Donald Trump mengeluarkan perintah sekatan terhadap 48 syarikat China dan Ketua Parti Komunis di Xinjiang, Chen Quanguo atas penahanan puluhan ribu hingga berjuta-juta penduduk Uighur.
Jenama pakaian terkenal dunia turut memboikot fabrik yang dihasilkan China selain Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengetuai misi ke China bagi memeriksa amalan hal asasi manusia di wilayah berkenaan.
China bertindak mempertahankan kem tersebut sebagai ‘pusat pendidikan vokasional’ yang bertujuan ‘membersihkan penyakit ideologi’ termasuk keganasan dan ekstremisme agama.
Media dan diplomat Beijing sering menyerang kredibiliti ASPI dengan jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian menegaskan, ASPI sebagai organisasi pelopor anti-China.
ASPI telah meninjau secara dekat perkembangan sistem kem Xinjiang sejak 2018 melalui imej satelit, dokumen kerajaan, laporan media dan pengakuan saksi bagi memetakan pangkalan data kem tahanan seluruh wilayah itu. – AFP/AGENSI