JAKARTA: Penduduk di Margaluyu, Desa Sukratu, Cianjur terkejut dengan penemuan beras plastik yang diagihkan menerusi bantuan sosial.
Lapor CNN Indonesia, pada mulanya, warga penerima program bantuan makanan itu berasa curiga dengan beras yang dibeli dari E-warong di kawasan mereka.
Salah seorang penerima bantuan program tersebut, Ridwan berkata, beras yang ditanak menjadi lembik dan melekit.
Malah katanya, beras tersebut tidak seperti beras biasa yang diterima sebelum ini.
“Tekstur nasi sangat lembik dan melekit seperti gam, jadi kami tidak berani memakannya. Selepas memeriksa guni beras dari E-warong, didapati ada puluhan butir beras plastik yang serupa beras,” katanya seperti dipetik Antara.
Ridwan dan beberapa lagi penerima bantuan program itu turut memeriksa guni beras lain dan menemukan puluhan butir plastik yang dicampur di dalam kampit tersebut.
Katanya, berpuluh-puluh butir plastik yang kelihatan hampir sama seperti beras ditemukan dalam setiap guni.
Sejurus selepas kejadian itu, mereka melaporkan kepada ketua rukun tetangga setempat.
Ketua Rukun Warga Kampung Margaluyu, Salim berkata, selepas menerima aduan, pihaknya mengarahkan beberapa pegawai rukun tetangga menyiasat dan mengumpul data penerima yang terjejas.
“Kami masih mengumpul data, setakat ini jumlah penduduk yang mendapat beras plastik adalah lebih 100 orang.
“Kami juga meminta rukun tetangga bekerjasama dengan penduduk kampung untuk menyiasat campuran plastik dalam beras yang diagihkan menerusi bantuan sosial,” katanya.
Sementara itu, ketua perkhidmatan sosial Cianjur, Jawa Barat, Amad Mutawali berkata, pihaknya telah menghubungi pembekal beras dan barang keperluan asas lain untuk disiasat.
Pihaknya juga akan meminta bantuan polis menyiasat penemuan beras plastik kerana membahayakan kesihatan penduduk.