APT41 ‘terikat dengan China’? - Utusan Malaysia

APT41 ‘terikat dengan China’?

TIMBALAN Peguam Negara Amerika Syarikat, Jeffery Rosen mendedahkan pendakwaan terhadap tujuh suspek penggodam termasuk dua warga Malaysia di Washington. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Amerika Syarikat (AS) mendakwa kumpulan penggodam dikenali APT41 melakukan serangan ransomware, mengintip rangkaian kerajaan dan pergerakan aktivis Hong Kong.

Kumpulan itu dianggotai tujuh orang iaitu lima warga China dan dua rakyat Malaysia yang ditahan polis di Perak, Isnin lalu.

Beberapa pakar berpendapat, kumpulan itu ‘terikat dengan China’, malah ada yang mengaitkan kegiatan penggodam itu bermotifkan wang.

 

SIAPA MEREKA?

Lima daripada anggota kumpulan merupakan pakar penggodam dan pernah bekerja untuk Chengdu 404 Network Techno­logy, syarikat yang mengakui menyediakan perkhidmatan penggodaman sah.

Namun, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendakwa syarikat itu turut terlibat ‘serangan jahat’ organisasi bukan pelanggan.

Chengdu 404 mengakui bersekongkol dengan penilai kese­lamatan teknologi negara dan beberapa universiti di China.

Dua penggodam warga Malaysia ber­khidmat di SEA Gamer Mall.

Firma berpangkalan di Malaysia itu menjual mata wang permainan video dan barangan digital dengan wang sebenar.

 

BENTUK PERTUDUHAN?

Kumpulan itu didakwa menggodam maklumat lebih 100 buah syarikat seluruh dunia.

Mereka disyaki mencuri identiti, menggodam sistem bagi mendapatkan duit termasuk mata wang kripto bitcoin.

Kumpulan itu juga disyaki mempunyai kaitan rangkaian kerajaan India dan Vietnam.

 

BAGAIMANA APT41 BEROPERASI?

Kumpulan itu bertindak menghantar e-mel yang me­ngandungi ‘virus’ kepada syarikat sasaran, selain mengubah kod bagi membolehkan mereka menyerang komputer pelanggan.

Dua suspek rakyat Malaysia, Wong Ong Hua dan Ling Yang Ching didakwa mengarah pekerjanya mencipta ribuan akaun permainan video palsu untuk ‘menerima barangan yang dicuri secara maya’ sebelum dijual dalam pasaran gelap.

 

ADAKAH KERAJAAN CHINA TERLIBAT?

Kumpulan itu didakwa me­nyasarkan beberapa industri termasuk kesihatan, telekomunikasi dan media yang ‘konsisten dengan keutamaan dasar-dasar China’.

APT41 juga dilaporkan me­ngumpul maklumat mengenai ketua aktivis Hong Kong dan seorang sami Buddha dari Tibet.

Seorang lagi penggodam, Jiang Lizhi pernah bekerja untuk kumpulan penggodam agensi kerajaan dan mempunyai hubungan rapat dengan Kementerian Ke­selamatan China.

Namun, kumpulan itu dilihat lebih terdorong mendapatkan duit secara cepat berserta ‘minat menggodam’.

 

DI MANA APT41 KETIKA INI?

Lima penggodam warga China masih diburu, dua lagi rakyat Malaysia ditahan polis Isnin lalu.

AS kini berusaha mengekstradisi kedua-dua suspek tersebut.

Dokumen mahkamah menyebut kumpulan itu menyasarkan serangan di luar Malaysia dan China kerana mempercayai anggota penguat kuasa tidak mampu mengesan kegiatan ha­ram mereka. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya