Al-Quran bukan pencetus Daesh - Utusan Malaysia

Al-Quran bukan pencetus Daesh

KONFLIK di Syria yang dicetuskan militan Daesh membawa banyak kemusnahan termasuk kehilangan nyawa. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Al-Quran bukannya ‘faktor mempengaruhi’ yang signifikan bagi golongan lelaki muda menyertai kegiatan militan Daesh.

Perkara itu ditegaskan bekas penyelidik kanan Pusat Afro-Asia Barat di Johannesburg, Omar Shaukat ketika menemu bual golongan tersebut yang mempunyai keinginan menganggotai Daesh sekitar 2014 dan 2015.

Malah katanya, keinginan melakukan ‘kejahatan yang baik’ menjadi motivasi utama mendorong mereka terlibat dalam kancah keganasan.

Beliau berkata, kebanyakan golongan itu bukannya menjadi anggota kumpulan pelampau atau militan disebabkan agama dan itu boleh menjadi faktor penting ‘memulihkan pemahaman mereka’.

Sebaliknya, beliau lebih suka jika program rekrut Daesh dilihat sebagai ‘strategi yang efektif’ meningkatkan taraf hidup komuniti Islam berbanding menjadi anggota militan.

“Mereka yang memilih me­nyertai Daesh perlu diberi atau ditunjukkan ‘cara radikal yang tidak ganas atau dipenuhi kebencian’ berbanding realiti menyertai kumpulan militan.

“Keganasan boleh ‘dirawat’, namun perlu berdepan pelbagai penolakan oleh banyak faktor termasuk mungkin perlu bergaul dengan ‘pengganas’ untuk me­ngenal pasti masalah utama mereka,” katanya seperti dilaporkan Arab News.

Selain itu, Omar juga me­nyatakan ‘rawatan’ yang boleh dilakukan untuk ‘memujuk’ golongan tersebut supaya tidak terlibat dengan Daesh adalah menerusi sesi dialog.

Jelas beliau, golongan belia perlu ditekankan menerusi pelbagai kerja komuniti bahawa ‘tidak terlibat dalam keganasan adalah lebih baik berbanding menjadi militan’.

Omar turut memaklumkan dia memujuk golongan terbabit untuk tidak menyertai Daesh dengan menyakinkan mereka keganasan tidak akan membawa perubahan yang baik.

KURANG PENGETAHUAN AGAMA

Sementara itu, kajian Omar mendapat ‘sokongan’ menerusi lebih 3,000 dokumen berkaitan aktiviti Daesh yang diterima Associated Press pada 2016.

Dokumen itu menun­jukkan anggota yang direkrut menyertai Daesh tidak mendapat ajaran Islam secara mendalam dan sekadar pengetahuan asas mengenai al-Quran dan syariah.

Menurut dokumen berke­naan, sebanyak 70 peratus dalam kalangan mereka hanya mengetahui perkara asas tentang syariah dan kira-kira 24 pe­ratus dikategorikan mempunyai ‘ilmu sederhana’ dan lima peratus lagi benar-benar memahami al-Quran.

Pendedahan itu menunjukkan Daesh menyasarkan golongan yang ‘kurang penge­tahuan agama’ menyertai mereka dan menyebarkan sentimen serangan keganasan yang dilakukan adalah untuk agama dan jalan yang benar.

Sebagai contoh, anggota Daesh, Mohamed Lahouaiyej Bouhlel yang menyebabkan kematian 85 nyawa ketika merempuh orang ramai dalam acara awam di Nice, Perancis digambarkan oleh keluarga serta jirannya sebagai seorang yang tidak peduli dengan agama.

Lelaki itu juga didakwa mudah terpengaruh, suka minum arak dan menjalin hubungan terlarang.

Hasil analisis kesemua dokumen tersebut turut menunjukkan sekitar 4,030 orang yang direkrut masuk ke Syria ketika Daesh berkembang dan menguasai banyak wilayah di Iraq dan Syria pada 2013 serta 2014.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya