CHRISTCHURCH: Brenton Tarrant, pengganas kulit putih yang membunuh 51 jemaah dalam serangan dua masjid di sini tahun lalu, turut merancang membakar masjid berkenaan, kata seorang hakim.
Tarrant, mengaku bersalah atas 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh, dan satu tuduhan melakukan keganasan. Perbicaraan kes itu bermula hari ini selama empat hari.
Tarrant sebelum ini memecat peguam belanya dan mewakili dirinya sendiri.
Menurut pertuduhan yang dibacakan Pendakwaraya Barnaby Hawes, pengganas itu hati-hati merancang serangan berkenaan bertujuan menyebabkan sebanyak mungkin kematian.
Memetik laporan Bernama, sebelum serangan itu, Tarrant mengumpul banyak maklumat mengenai pelan dalaman masjid, lokasi, waktu solat, dan tarikh penting kalendar umat Islam ‘bagi memastikan waktu paling sibuk di masjid’, kata Hawes.
Selain sejumlah besar senjata api dan peluru di dalam kereta Tarrant, terdapat ’empat bekas mengisi petrol yang sudah diubah suai yang dirancang digunakan sebagai bahan bakar’.
Tertuduh merancang untuk membakar masjid-masjid itu di akhir serangan.
Tarrant, rakyat Australia berpindah ke New Zealand pada 2017, hadir di mahkamah dan menunjukkan sedikit penyesalan. Dia akan berada di kandang tertuduh sepanjang empat hari, untuk mahkamah mendengar keterangan kira-kira 66 individu.
Serangan yang dilakukan Tarrant pada 15 Mac 2019 disiarkan secara langsung di Facebook melalui kamera yang dipasang di badannya.